KUALA LUMPUR - Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan menawarkan penempatan di atas tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran kepada keluarga Orang Asli dari Kampung Sungai Cot, Maran yang memerlukan kediaman baharu.
Tawaran itu dizahirkan susulan rasa simpati, dukacita dan keprihatinan baginda terhadap pertikaian tanah yang melibatkan komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, baginda sentiasa mengikuti perkembangan isu tersebut dan memahami sepenuhnya kebimbangan serta kesukaran yang sedang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli.
Menurut beliau, Tengku Ampuan Pahang melihat masyarakat Orang Asli bukan sekadar sebagai rakyat negeri Pahang, malah sebagai sebuah komuniti yang sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati baginda.
“Melalui kajian tesis yang sedang diusahakan oleh baginda ketika ini, peranan Orang Kita (Orang Asli) diiktiraf sebagai antara kelompok yang penting dalam pembangunan negeri sejak dahulu lagi.
“Justeru, kebajikan dan masa depan mereka sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh baginda.
“Atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab itu, baginda dengan penuh ihsan menjemput mana-mana keluarga daripada komuniti Orang Kita di Kampung Sungai Cot, Maran yang memerlukan tempat tinggal untuk berpindah dan menetap di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Zahari berkata, Tengku Ampuan Pahang turut memberi jaminan agar masyarakat Orang Asli tidak perlu bimbang mengenai masa depan mereka.
Beliau berkata, sekiranya tanah di Kuala Wau dibangunkan pada masa hadapan, baginda akan memastikan keluarga Orang Asli yang menetap di kawasan itu terus mempunyai tempat tinggal dan tidak akan dipinggirkan.
“Mereka akan terus dijaga serta dibenarkan menetap di kawasan berkenaan. Baginda juga menegaskan bahawa pelawaan ini tidak terhad kepada komuniti Orang Kita di Kampung Sungai Cot, Maran sahaja,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana keluarga Orang Asli yang memerlukan tempat berlindung atau penempatan baharu juga dialu-alukan untuk menetap di tanah berkenaan di Kuala Wau, Maran, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Mohamed Zahari berkata, Tengku Ampuan Pahang berharap tawaran itu dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas, selain memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus terpelihara tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka.
“Pada masa yang sama, baginda menyeru semua pihak yang terlibat supaya mengutamakan semangat kerjasama, saling menghormati serta mengadakan perbincangan yang bermakna dalam mencari penyelesaian yang adil, bijaksana dan seimbang demi menjaga kepentingan semua pihak.
“Baginda juga berharap segala usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak berkaitan dapat membawa kepada penyelesaian terbaik demi kesejahteraan komuniti Orang Kita serta keharmonian negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata, Tengku Ampuan Pahang turut mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dan penyelesaian yang dicapai kelak membawa manfaat serta kebaikan kepada semua pihak yang terlibat. - Getaran, 20 Julai 2026

