KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an ditahan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki melakukan kesalahan khalwat di sebuah hotel di Johor Bahru dalam satu operasi penguatkuasaan rutin.
JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, pasangan terbabit ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika pemeriksaan berkala dan secara rawak dijalankan pegawai penguat kuasa jabatan itu.
Menurut JAINJ, operasi tersebut bukan dilaksanakan semata-mata susulan aduan orang awam, sebaliknya merupakan sebahagian daripada aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan berkala.
“Setibanya di hadapan bilik hotel, pegawai penguat kuasa mengetuk pintu beberapa kali namun tidak menerima sebarang respons. Pintu hanya dibuka kira-kira lapan minit kemudian oleh seorang lelaki yang hanya memakai seluar pendek.
“Selepas memperkenalkan diri serta menunjukkan kad kuasa, pegawai penguat kuasa memasuki bilik bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Keadaan bilik ketika itu gelap sebelum semua lampu dinyalakan,” menurut kenyataan itu.
Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita sedang berbaring di atas katil dalam keadaan berselimut.
“Seorang pegawai penguat kuasa wanita kemudian menjalankan pemeriksaan dan mendapati wanita terbabit dalam keadaan bogel ebelum mengarahkannya mengenakan pakaian yang sesuai di dalam bilik air,” menurut kenyataan berkenaan.
JAINJ berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua individu itu tidak mempunyai ikatan perkahwinan serta tiada hubungan mahram.
Lelaki berkenaan pada mulanya memaklumkan bahawa wanita itu ialah rakannya sebelum mengesahkan mereka hanya saling mengenali.
Menurut JAINJ, kedua-duanya masih bujang, bekerja dan menetap di Johor Bahru.
“Mereka mengaku datang bersama menaiki kereta milik lelaki berkenaan dan mendaftar masuk ke hotel kira-kira pukul 9 malam, dengan kos sewaan bilik dibayar sepenuhnya oleh lelaki itu.
“Ketika disoal siasat, mereka mendakwa hanya berehat dan tidur di dalam bilik hotel serta tidak melakukan sebarang perbuatan tidak bermoral.
“Mereka turut memberikan alasan tidak dapat pulang ke Johor Bahru kerana hari sudah lewat malam,” menurut kenyataan itu.
Pasangan terbabit kemudiannya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan akan berdepan prosiding di Mahkamah Syariah. - Getaran, 19 Julai 2026

