KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Johor telah mengarahkan penutupan satu daripada premis yang digunakan Network School di Forest City, susulan pemeriksaan mendapati ia beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), yang turut mengeluarkan notis berkaitan papan tanda iklan tanpa kebenaran.
Dalam hantaran di Facebook malam tadi beliau berkata, pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan beroperasi di dua premis.
Menurutnya, hanya satu premis memiliki lesen pejabat yang sah, manakala satu lagi, walaupun dimiliki rakyat tempatan, beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP.
“Pemeriksaan turut mendapati syarikat terbabit melanggar syarat kategori perniagaan diluluskan apabila menggunakan premis berlesen pejabat sebagai bilik darjah, serta menjalankan aktiviti promosi perniagaan yang tidak diisytiharkan sepenuhnya dalam permohonannya.
“Sehubungan itu, MBIP mengeluarkan Notis Henti Perniagaan (IP012N260714001) terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen berkenaan,” katanya.

Onn Hafiz memberitahu, MBIP turut mengeluarkan Notis Lesen Iklan di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 selepas mendapati papan tanda yang dipamerkan tidak mematuhi syarat pelesenan serta kelulusan yang diberikan sebelum ini.
“MBIP akan meneruskan siasatan terhadap semua perkara yang berada di bawah bidang kuasanya dan menegaskan sebarang pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, isu berkaitan kemasukan dan status imigresen warga asing adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Berhubung isu yang melibatkan Network School di Forest City, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.
“Kerajaan Johor menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memberikan keputusan yang segera, jelas dan muktamad mengenai status individu yang terlibat serta operasi Network School,” katanya,” katanya. - Getaran, 18 Julai 2026
