KUALA LUMPUR - Tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mengundurkan diri dari kerajaan negeri Melaka nampaknya tidak terhenti di situ.
Terbaru, langkah tersebut disusuli keseluruhan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Melaka yang mengambil keputusan muktamad menarik diri sepenuhnya.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, penarikan berkenaan berkuatkuasa 31 Julai nanti.
Menurut beliau, keputusan berat itu terpaksa diambil demi mempertahankan maruah parti, mandat rakyat, dan prinsip demokrasi tulen yang selama ini menjadi tunjang perjuangan mereka.
“Setelah sekian lama memberikan komitmen serta sabar dalam mengekalkan keharmonian pentadbiran, kepimpinan PH Melaka dengan ini mengumumkan keputusan rasmi dan muktamad untuk menarik diri sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa 31 Julai 2026,” katanya.

Jelas ADUN Bukit Katil itu, pindaan unilateral tanpa konsensus Kerajaan Perpaduan adalah faktor utama dan terkini yang membawa kepada tindakan seumpama itu.
“Selain itu, ia turut didorong isu ADUN Lantikan yang tiada keperluan, pembaziran dana dan kos wang rakyat serta prinsip demokrasi dan maruah parti,” katanya.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, lima ADUN PH (empat daripada DAP dan seorang daripada Amanah) bersama seluruh Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daripada blok PH akan melepaskan semua jawatan dan keistimewaan masing-masing selaras dengan prinsip demokrasi dewan.
“Mulai tarikh transisi tersebut, kami akan bertindak sebagai blok pembangkang yang konstruktif.
“Kami berikrar akan terus melipatgandakan usaha untuk berkhidmat serta menjadi suara semak dan imbang yang tegas demi memastikan hak rakyat Melaka terus terpelihara tanpa sebarang kompromi,” katanya. - Getaran, 18 Julai 2026

