KUALA LUMPUR - Hanya 49 peratus pekerja di Malaysia berpuas hati dengan gaji semasa mereka, walaupun majoriti mengakui kadar bayaran yang diterima adalah adil berdasarkan peranan dipikul.
Dapatan terkini laporan Salary Pulse 2026 oleh Jobstreet by SEEK mendedahkan, 81 peratus pekerja menganggap gaji mereka adalah adil, namun terdapat jurang ketara antara nilai pasaran yang dianggap adil dan perasaan sebenar pekerja dari segi penghargaan di tempat kerja.
Kajian yang melibatkan 1,010 pekerja tempatan berusia antara 18 hingga 64 tahun itu menunjukkan, pembayaran berdasarkan penanda aras pasaran semata-mata tidak lagi mencukupi untuk membuatkan pekerja berasa dihargai.
Malah, dalam kalangan pekerja yang menganggap gaji mereka sebagai ‘adil’, kurang daripada separuh (41 peratus) benar-benar berpuas hati dengan imbuhan yang diterima kerana golongan terbabit mula menilai gaji bersama faktor lain seperti beban kerja, pengiktirafan dan peluang kemajuan kerjaya.
Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, kajian itu membuktikan bahawa pekerja kini membezakan secara jelas antara menerima gaji yang adil dan berasa benar-benar dihargai oleh organisasi.
“Gaji yang kompetitif akan sentiasa penting, namun ia bukan lagi satu-satunya ukuran yang digunakan oleh pekerja. Mereka mahu gaji yang diterima mencerminkan sumbangan individu, peluang pertumbuhan serta perkembangan kerjaya.
“Bagi majikan, ganjaran kini merangkumi aspek komunikasi, pengiktirafan dan kepercayaan, bukan sekadar angka,” katanya dalam laporan itu.
Laporan itu turut mendedahkan implikasi penting terhadap pengekalan bakat, dengan pekerja yang berpuas hati dengan gaji akan tiga kali ganda lebih berkemungkinan untuk bermotivasi di tempat kerja, manakala mereka yang tidak berpuas hati 2.5 kali ganda lebih cenderung untuk mencari pekerjaan baharu.
Bagaimanapun, pekerja di Malaysia menegaskan, mereka tidak akan mengorbankan harga diri semata-mata demi gaji yang lebih tinggi.
Walaupun 19 peratus sanggup menerima jawatan yang lebih rendah demi kenaikan gaji sebanyak 10 peratus, hanya tiga peratus bersedia bekerja di syarikat yang mempunyai budaya kerja toksik.
Dari segi kenaikan gaji, 56 peratus pekerja menerima kenaikan dalam tempoh setahun lalu, dengan kebanyakannya menerima kenaikan sederhana sehingga lima peratus.
Kajian itu mendapati pekerja lebih menghargai kenaikan berdasarkan prestasi (65 peratus berpuas hati) berbanding pelarasan menyeluruh di peringkat syarikat (52 peratus berpuas hati), sekali gus menunjukkan kepentingan pengiktirafan terhadap sumbangan individu.
Selain itu, tahap keyakinan untuk membincangkan isu gaji masih rendah, dengan hanya 40 peratus pekerja berasa selesa untuk meminta kenaikan gaji.
Bagaimanapun, 78 peratus daripada mereka yang berani meminta kenaikan gaji melaporkan bahawa mereka berjaya memperolehnya, kata Lam. - Getaran, 16 Julai 2026
