KUALA LUMPUR - Penyertaan semula Khairy Jamaluddin (KJ) ke dalam UMNO terus mencetuskan pelbagai spekulasi politik, khususnya tatkala Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal berlangsung.
Persoalan kini bukan lagi sama ada beliau akan bertanding, sebaliknya kerusi yang bakal ditandingi.
Selepas memainkan peranan aktif membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor baru-baru ini, semakin ramai pemerhati politik melihat Khairy sebagai antara aset penting UMNO bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Malah, terdapat pandangan bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau itu berpotensi dilantik sebagai ‘poster boy’ BN negeri, susulan penerimaan yang semakin baik terhadap prestasinya dalam parti.
Walaupun ada pihak menjangkakan Khairy kembali bertanding di Parlimen Rembau iaitu kubu kuatnya satu ketika dahulu, perkembangan politik semasa membuka ruang kepada beberapa pilihan lain yang dilihat lebih strategik.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas dijangka menjadi tumpuan menjelang PRN pada 1 Ogos.
Menurut sumber dalaman, pencalonan Khairy di kerusi berkenaan berpotensi meningkatkan peluang BN untuk menguasai negeri tersebut.
DUN Gemas kata sumber lagi, memliki komposisi pengundi berbilang kaum yang dilihat sesuai dengan imej nasional Khairy serta pengalaman beliau sebagai bekas menteri kanan.
Persoalan mengenai kedudukan Khairy dalam arena politik mula timbul apabila beliau diterima semula menyertai UMNO selepas dipecat daripada parti itu tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, Khairy dilaporkan berkata, beliau lebih selesa berperanan sebagai jentera kempen berbanding bertanding sebagai calon pada PRN Negeri Sembilan.
Namun, tegasnya, perkara itu bergantung kepada keputusan kepimpinan parti.
Selain Gemas, kerusi DUN Rantau turut disebut-sebut sebagai antara lokasi berpotensi untuk ditandingi Khairy.
Pada masa sama, terdapat pihak yang berpandangan Khairy wajar kembali ke kawasan Rembau, lokasi beliau membina sebahagian besar kerjaya politiknya sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Hubungan erat dengan jentera tempatan serta tahap pengenalan yang tinggi dalam kalangan pengundi dilihat terus menjadi kelebihan sekiranya UMNO memilih pendekatan tersebut.
Sumber dalaman percaya pemilihan kerusi untuk Khairy bukan sekadar soal peluang kemenangan, malah membawa mesej yang lebih besar mengenai hala tuju pembaharuan UMNO serta persediaan parti membentuk barisan kepimpinan masa depan.
Bagaimanapun, pemimpin UMNO Negeri Sembilan menepis dakwaan mengenai kemunculan semula Khairy sebagai sekadar spekulasi dan berpandangan, masih terlalu awal untuk beliau kembali aktif dalam politik.
BN sebelum ini mengesahkan akan bertanding di semua 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan. - Getaran, 15 Julai 2026
