NEW YORK - Sepanyol muncul juara Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan penyandang juara, Argentina, 1-0 menerusi masa tambahan dalam aksi final yang sengit, sekali gus merangkul kejuaraan dunia buat kali kedua dalam sejarah negara itu.
Gol tunggal kemenangan dijaringkan pemain gantian, Ferran Torres, pada minit ke-106 apabila beliau menyempurnakan peluang dari jarak dekat selepas penjaga gol Argentina, Emiliano Martínez, sebelum itu melakukan beberapa aksi cemerlang untuk menggagalkan percubaan Sepanyol sepanjang 90 minit permainan.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan impian Argentina untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu, selain menafikan hasrat kapten mereka, Lionel Messi, yang kini berusia 39 tahun, untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.
Messi turut gagal mengatasi rekod jaringan Kylian Mbappé dari Perancis dalam perebutan Kasut Emas kejohanan.
Argentina beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua selepas Enzo Fernández dilayangkan kad kuning kedua dan diperintahkan keluar padang.
Walaupun gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat sepanjang 90 minit, skuad bimbingan Lionel Scaloni bertahan dengan cukup kental sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum akhirnya tewas akibat tekanan berterusan Sepanyol.
Ketika penentuan sepakan penalti dilihat semakin hampir, Torres muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan yang mencetuskan kegembiraan dalam kalangan pemain dan penyokong Sepanyol, sekali gus melengkapkan satu lagi pencapaian gemilang buat juara Eropah itu.
Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, melahirkan rasa bangga terhadap anak buahnya selepas berjaya membawa negara itu menjuarai kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia.
“Saya berasa amat bangga dengan generasi pemain ini yang terus berpegang teguh kepada falsafah permainan kami dan sentiasa memberikan yang terbaik.
“Mereka menjadi contoh sebuah pasukan, sebuah keluarga dan kelompok pemain hebat yang menunjukkan prestasi luar biasa. Saya amat berbangga dapat menemani mereka sepanjang perjalanan ini dan ia merupakan satu penghormatan buat saya.
“Sukar untuk saya menggambarkan perasaan ketika ini. Apa yang pasti, segala usaha dan pengorbanan kami benar-benar berbaloi. Saya sangat terharu, malah para pemain sendiri berkata kepada saya, ‘Bos, kita sudah memenangi semuanya’, dan itu sesuatu yang cukup mengagumkan.
“Generasi pemain ini adalah contoh terbaik buat sukan Sepanyol dan juga golongan muda negara ini.
“Sudah tentu kami mahu menamatkan perlawanan lebih awal. Kami mencuba berkali-kali untuk menjaringkan gol tetapi tidak berjaya. Namun, ini adalah final Piala Dunia. Walaupun lawan hanya beraksi dengan 10 pemain, kami tetap perlu berjuang habis-habisan. Kami tidak kisah jika perlu menderita kerana kami sudah bersedia menghadapi apa jua situasi.”
Sementara itu, pengurus Argentina, Lionel Scaloni, tetap memuji semangat juang pemainnya walaupun kecewa dengan kekalahan tersebut dan menggesa penyokong menghargai pencapaian pasukan sepanjang kejohanan.
“Saya sedih, namun saya sedar kami telah memberikan segala-galanya di atas padang. Saya amat berterima kasih kepada semua pemain yang berjuang tanpa mengenal erti putus asa. Apa yang mereka lakukan untuk sampai ke tahap ini bukan sesuatu yang mudah.
“Kita perlu menghargai apa yang telah dicapai. Kita harus merendah diri ketika menang dan juga tabah apabila kalah. Hari ini kami menunjukkan bahawa kami tahu menerima kekalahan. Kami tewas dan kami menerimanya.
“Namun, kekalahan ini tidak akan memadam segala usaha dan pencapaian kami sepanjang kejohanan. Saya ingin memberitahu seluruh rakyat bahawa kami telah berjuang dengan sepenuh hati,” katanya. - Getaran, 20 Julai 2026

