MANCHESTER - Manchester City menyamai rekod 28 perlawanan tanpa kalahnya, selepas membenam Wolves 4-1 untuk membuka jurang 15 mata di puncak Liga Perdana Inggeris.
Anak buah Pep Guardiola cemas sebentar selepas pemain Wolves Conor Coady menjaringkan gol persamaan selepas Leander Dendoncker menjaringkan gol sendiri pada awal permainan.
Namun dua gol daripada Gabriel Jesus dan satu gol sumbangan Riyad Mahrez memastikan tiga mata dalam tangan City.
Rekod 28 perlawanan tanpa kalah City menyamai urutan dari April hingga Disember 2017 dan mereka kini berpeluang merangkul kejuaraan liga ketiga dalam empat tahun.
Kemenangan ke atas Wolves adalah yang ke-21 berturut-turut dan ke-15 dalam liga.
“Selepas 1-1 kami mendapati keadaan agak sukar, tapi di pengakhirannya kami banyak mencipta peluang.
“Manchester United. Itu sahaja fokus kami sekarang.
“Juara bertahan adalah Liverpool. Kami berada di posisi yang terbaik untuk menggantikan mereka sebagai juara dan kami akan cuba sedaya upaya, tapi mereka tetap juara bertahan.
“Masih ada 33 mata untuk direbut. Esok United akan menentang Crystal Palace, kami akan ada satu atau dua hari untuk berehat sebelum menjemput mereka ke laman sendiri,” kata Guardiola kepada BT Sport. - AFP

