KUALA LUMPUR - Kabinet telah meluluskan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh rangka kerja tindak balas bencana negara di peringkat Persekutuan dan negeri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, majlis itu akan dibarisi semua Ketua Menteri dan Menteri Besar sebagai ahli tetap.
Menurut beliau, mesyuarat majlis tersebut akan diadakan sejurus selepas mesyuarat berkala Menteri Besar dan Ketua Menteri.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan bertindak sebagai urus setia majlis.
“NADMA juga akan menyelaras usaha kesiapsiagaan bencana serta memastikan pelaksanaan langkah tindak balas di peringkat nasional dan serantau berjalan lancar,” katanya.
Fahmi menyatakan demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet dan Taklimat Harian Krisis Tenaga Global yang diadakan di Putrajaya hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Kabinet turut dimaklumkan mengenai lanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang kini akan diteruskan sehingga penghujung 2027, seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu.
Katanya, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing turut menekankan keperluan untuk menilai semula sektor kritikal seperti penerbangan dan perhotelan, bagi memastikan ia tidak terjejas akibat krisis tenaga global serta konflik berterusan di Asia Barat.
Sementara itu, mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenaikan kos bahan api, Fahmi mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat.
Jelasnya, harga diesel di Thailand ketika ini jauh lebih tinggi berbanding Malaysia dan tiada negara, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mampu mengelak daripada menaikkan harga bahan api domestik susulan ketidaktentuan tenaga global.
“Saya tidak pasti sama ada beliau menerima maklumat yang tepat. Harga diesel di Thailand jauh lebih tinggi daripada negara kita. Namun tiada negara, termasuk UAE, yang dapat mengelak daripada menaikkan harga bahan api domestik,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan perkembangan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran maklumat palsu dalam talian berkaitan krisis tenaga global.
Beliau memberitahu, sebanyak 42 kertas siasatan telah dibuka, dengan 31 daripadanya melibatkan berita palsu mengenai kos bahan api.
“Sehingga jam 3 petang hari ini, seramai 22 individu di seluruh negara telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“MCMC juga telah mengemukakan 355 permohonan kepada platform media sosial untuk menurunkan kandungan palsu, dengan 154 daripadanya telah dipadam manakala selebihnya masih dalam proses semakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi, khususnya di platform digital.
“Jangan sebarkan sebarang maklumat sehingga kesahihan dan ketepatannya dipastikan. Rujuk sumber rasmi dan pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya. — Getaran, 8 April 2026

