KUALA LUMPUR – Suasana majlis pelancaran biografi Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff BK Lee, Journey To Success Sabtu lalu bertukar sayu apabila beliau berkongsi kisah hidupnya yang penuh ranjau sebelum mengecapi kejayaan.
Buku yang diterbitkan oleh Sin Chew Daily itu bukan sekadar catatan perjalanan seorang usahawan, tetapi ia adalah kisah sebuah perjuangan yang sarat dengan air mata, kegigihan dan impian yang tidak pernah padam.
Majlis tersebut menjadi lebih istimewa apabila Jeff Lee menjemput bukan sahaja rakan dan warga JL99 Group, tetapi juga pembeli rumah syarikatnya.
Tetamu bukan sekadar berpeluang menyaksikan pelancaran buku, tetapi turut disajikan dengan kisah inspirasi yang menusuk jiwa.
“Kami hidup dalam sebuah rumah papan kecil, terlalu sempit untuk sebuah keluarga besar. Makan bukan sesuatu yang boleh kami pilih—kadang-kadang, nasi dengan kicap sudah cukup mewah. Jika teringin minum sup, saya hanya meneguk air kosong,” luahnya dengan suara yang sedikit bergetar.

Suasana yang berubah sayu menyebabkan ada antara tetamu mengalirkan air mata.
Pada majlis tersebut Jeff memberitahu, beliau membesar dengan serba kekurangan.
Ayahnya hanya seorang pemandu teksi manakala ibunya bekerja sebagai pembantu rumah dan mereka sekeluarga tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri, apatah lagi sebuah kereta.
Impiannya untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi juga hanya tinggal sebagai angan-angan.
Namun, satu perkara yang tidak pernah hilang dalam diri Jeff adalah harapan.
“Saya tahu, saya miskin. Tapi saya juga tahu, saya tidak perlu miskin selamanya,” tegasnya.
Sejak kecil, Jeff sudah belajar berdikari. Beliau bekerja siang dan malam dan melakukan apa sahaja yang termampu untuk membantu keluarga.
Bermula sebagai tukang jahit, Jeff beralih menjadi jurujual kereta Proton dan bekerja tanpa henti hingga mencipta rekod sebagai penjual terbaik.
Bagaimanapun, kejayaan paling bermakna adalah apabila beliau berjaya membangunkan JL99 Group dan membentuk syarikat itu untuk muncul sebagai antara pemaju hartanah yang sering membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.

Antara kejayaan terbesar JL99 adalah projek pembangunan semula Razak Mansion di Sungai Besi, yang menyaksikan seluruh kompleks kediaman lama itu diubah menjadi pangsapuri moden yang lebih selesa dan selamat.
“Saya mahu orang lain merasai apa yang saya tidak pernah ada dulu—rumah yang selesa dan kehidupan yang lebih baik. Razak Mansion bukan sekadar projek perumahan, ia adalah simbol harapan untuk mereka yang memerlukan,” katanya.
Sejak penubuhan JL99 Group pada 1995, Jeff telah menempuh pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan pasaran hartanah serta impak pandemik COVID-19.
Namun, semangatnya tidak pernah luntur dan kini, syarikat diterajuinya terus berkembang pesat selepas membangunkan projek perumahan eksklusif mampu milik yang dilengkapi pelbagai fasiliti.
“Kita mungkin lahir dalam kesusahan, tetapi kita punya pilihan untuk tidak kekal di situ. Selagi kita tidak berhenti berusaha, selagi itu masih ada harapan,” katanya. - Getaran, 26 Mac 2025

