KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa melalui pilihan raya diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.
Kelulusan itu mencetuskan ketegangan politik apabila DAP Melaka mengambil langkah menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri.
RUU yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu diluluskan menerusi undian suara selepas memperoleh sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri, manakala lima lagi mengundi menolak.
Kelulusan pindaan berkenaan mencetuskan pertelingkahan pendapat antara kerajaan negeri dan DAP Melaka, yang membantah keras cadangan itu atas alasan pelantikan berkenaan berpotensi menjejaskan mandat demokratik wakil rakyat dipilih melalui pilihan raya, selain meningkatkan pengaruh pihak eksekutif terhadap proses perundangan.
Sebelum pengundian dijalankan, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, menegaskan bahawa parti itu akan keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri serta melepaskan semua jawatan dalam kerajaan pimpinan Ab Rauf sekiranya pindaan tersebut diluluskan.
Mempertahankan pindaan itu, Ab Rauf berkata, langkah tersebut tidak mengubah komposisi sedia ada DUN Melaka yang mempunyai 28 ADUN dipilih, sebaliknya menyediakan ruang kepada individu dengan kepakaran khusus untuk menyumbang secara langsung kepada urusan perundangan negeri.
Beliau berkata, mekanisme pelantikan itu bertujuan membawa golongan profesional yang memiliki kepakaran dalam bidang seperti perundangan, ekonomi, pendidikan, pelaburan, teknologi dan pembangunan negeri bagi memperkukuh perbincangan dasar serta perbahasan di DUN.
“Pindaan ini membolehkan individu yang mempunyai kepakaran atau pengalaman dalam bidang tertentu seperti perundangan, ekonomi, pendidikan, pelaburan, teknologi dan pembangunan negeri menyumbang secara langsung kepada proses penggubalan dasar serta perbahasan di Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Menurut Ab Rauf, langkah itu juga dapat memperluaskan penyertaan pelbagai kelompok masyarakat yang mungkin mempunyai peluang terhad untuk diwakili melalui pilihan raya, termasuk wanita, belia, masyarakat Orang Asli, kumpulan minoriti, golongan profesional dan wakil industri utama.
Katanya, individu yang tidak berjaya memenangi kerusi melalui proses pilihan raya masih boleh memainkan peranan penting dalam merangka dasar serta menyumbang kepada pembangunan Melaka menerusi kepakaran masing-masing.
Ab Rauf berkata, kehadiran pakar teknikal dalam DUN juga mampu meningkatkan keberkesanan fungsi semak dan imbang dengan menyediakan penilaian yang lebih berasaskan kepakaran terhadap rang undang-undang, program kerajaan serta urusan pentadbiran negeri.
“Selain itu, ia dapat meningkatkan kualiti perbahasan dan semak imbang apabila ahli yang dilantik berdasarkan kepakaran dapat memberikan pandangan yang lebih teknikal dan objektif terhadap rang undang-undang, dasar serta isu pentadbiran negeri, sekali gus meningkatkan mutu perbahasan di Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Beliau memaklumkan, mekanisme sama telah diperkenalkan di Johor menerusi pindaan perlembagaan negeri pada Mei 2026 yang membolehkan pelantikan lima ADUN bukan dipilih ke dalam Dewan Undangan Negeri Johor.
Mengulas mengenai aspek perundangan, Ab Rauf berkata pindaan itu mengandungi tiga fasal merangkumi tajuk ringkas RUU, pindaan kepada Perkara 11 Perlembagaan Negeri Melaka serta pewujudan Perkara baharu 11A, 11B dan 11C bagi mengawal selia pelantikan serta tanggungjawab ADUN yang dilantik.
Di bawah Perkara 11A, seseorang ADUN yang dilantik perlu dicalonkan menerusi usul dan disokong sekurang-kurangnya tujuh ADUN, diluluskan dengan majoriti mudah, sebelum diperkenankan pelantikannya oleh Yang di-Pertua Negeri.
Menurut beliau, semua calon yang dipertimbangkan bagi pelantikan itu mestilah merupakan pemastautin di Melaka.
“Seorang ahli yang dilantik hendaklah mengosongkan kerusinya di Dewan Undangan Negeri pada tarikh ditetapkan oleh Speaker selepas menerima surat peletakan jawatan, atau pada tarikh suatu usul untuk menamatkan pelantikannya diluluskan dengan sokongan sekurang-kurangnya tujuh ADUN dan majoriti mudah, atau apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan, atau apabila pelantikannya ditamatkan demi kepentingan awam di bawah Perkara 11B yang baharu, mengikut mana-mana yang berlaku terlebih dahulu,” katanya. - Getaran, 14 Julai 2026
