Berita Terkini

14 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Orang Asli: Kemiskinan Punca Keciciran

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Dec 2022 1:00PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

GUA MUSANG - Buat sekian kalinya Jamil Gabon, 40, akan berdiri di tepi jendela pondok kediamannya yang hanya berdindingkan potongan buluh dan berbumbung daun rumbia, dan merenung tajam ke arah kebun getah seluas hampir dua hektar yang diusahakannya itu.

Keadaan cuaca yang tidak menentu sejak bulan September lepas menyebabkan sumber rezeki daripada pokok getah itu turut terjejas dan keadaan semakin genting dengan ketibaan musim tengkujuh.

Resah hati anak jati Orang Asli suku Temiar ini turut dikongsi kebanyakan penduduk kampung lain di Pos Simpor yang terletak jauh di pedalaman Gua Musang kerana keadaan itu hanya menambah lagi beban kewangan mereka yang rata-ratanya bergantung pada sumber komoditi tersebut.

Pos Simpor terletak jauh di pedalaman Gua Musang, Kelantan. - Gambar Bernama
Pos Simpor terletak jauh di pedalaman Gua Musang, Kelantan. - Gambar Bernama

“Sudah tiga bulan tak dapat menoreh getah. Dari bulan Oktober tak ada hasil duit getah kerana tidak dapat menoreh disebabkan hujan hampir setiap hari. Memang nak pergi menoreh untuk cari duit tapi susu getah yang terkena air hujan tidak sesuai dijual, rosak, jadi sia-sia,” luah hati bapa kepada tiga orang anak ini kepada penulis. 

Keadaan itu juga menyukarkannya untuk menyara keluarga apatah lagi dia tidak mempunyai pekerjaan sampingan lain bagi menambah pendapatan dan ini bukan bermakna disebabkan sifat pemalas tetapi faktor geografi menyebabkan masyarakat Orang Asli di Pos Simpor sukar mencari sumber rezeki alternatif bagi menampung keluarga.

Akses kepada kawasan penempatan Orang Asli itu hanyalah melalui udara dan jalan balak yang berlopak serta berbahaya dengan memakan masa lebih empat jam perjalanan ke bandar Gua Musang biarpun jaraknya hanyalah sekitar 98 kilometer.

“Nak keluar kerja di pekan, kena ada sekurang-kurangnya RM100. Ini pun jika ada motosikal sebab jalan balak sini teruk, motor mudah rosak. Nak sewa rumah di pekan tidak murah, sebab itu kami bergantung kepada getah, cuma saya bimbang tahun depan anak masuk sekolah menengah, mesti banyak guna duit walaupun sekolah percuma.  Macam-macam benda kena beli,” katanya lagi kepada Bernama

Hanya RM40-RM50 Sebulan

Bagi penduduk Pos Simpor, majoriti daripada mereka mengusahakan tanaman getah selain turut bercucuk-tanam menanam ubi, padi dan sayur-sayuran lain untuk keperluan makanan sendiri.

Pos ini didiami lebih 900 penduduk dan ia antara penempatan Orang Asli paling jauh di pedalaman Semenanjung dan tidak boleh ditemui di Google Maps. Terdapat 12 buah kampung iaitu Kampung (Kg) Penad, Kg  Sedal, Kg Sumbang, Kg Ceranok, Kg Dandut, Kg Jader Lama, Kg Pahoj, Kg Kledang, Kg Pos Simpor, Kg Halak, Kg Rekom dan Kg Tihok di Pos Simpor.

Sukar dinafikan, kebanyakan ketua keluarga di pos ini bergelut dengan cabaran menyekolahkan anak mereka sehingga ada yang bukan sahaja tidak dapat menghantar anak sekolah pada Januari dan Februari (biasanya awal tahun), malah ada murid yang terpaksa berhenti sekolah atas faktor kemiskinan. 

“Walaupun sesi persekolahan baharu bermula Mac tetapi awal tahun tetap perlukan perbelanjaan lebih kerana pakaian tetap kena tukar disebabkan badannya dah naik, tinggi, kasut kena beli dan bila masuk sekolah menengah, lagilah kena bagi duit saku biarpun duduk asrama. 

“Sebabnya anak saya akan bersekolah jauh di bandar Gua Musang dan tidak boleh bertemu selalu, jadi kenalah ada duit saku. Simpanan yang ada hanya boleh beli makanan kerana pendapatan sebagai penoreh getah tidak seberapa biarpun mempunyai lebih daripada 200 batang pokok kerana pokok saya bukannya pokok kahwin yang dapat hasil banyak,” tambah Jamil.

Ada ketikanya dia hanya memperoleh sekitar RM40 hingga RM50 sebulan ataupun paling tinggi hanyalah RM200 sebulan memandangkan harga sekilogram getah sekerap dijual mengikut kadar pasaran.

Biarpun begitu, kebiasaannya getah mereka dibeli dengan harga lebih murah antara RM1.10 atau paling tinggi pun pernah mencecah RM3.00 sekilogram tetapi selalunya bawah RM2.00 biarpun harga komoditi itu di pasaran lebih tinggi.

Ini kerana peraih yang datang membeli hasil mereka mengambil kira  faktor kos minyak, jalan balak dan jarak perjalanan. 

Tambah memburuk apabila harga getah mengalami kejatuhan sebanyak 11.7 peratus bagi tempoh Julai hingga Ogos tahun ini, dengan harga peringkat ladang telah merosot kepada RM2.50 ke RM2.80 sekilogram berbanding RM3.00 sekilogram pada enam bulan pertama tahun ini, sekali gus menyukarkan lagi kehidupan pekebun kecil yang kebanyakannya tinggal di luar bandar.

Pendidikan Atau Makanan?

Pendapatan yang tidak seberapa itu sudah tentunya sukar untuk Jamil dan penduduk Orang Asli lain  menyimpan wang yang boleh digunakan ketika waktu terdesak apatah lagi harga barangan keperluan makanan harian adalah lebih mahal berbanding pendapatan yang diperolehi.

“Harapan saya memang tinggi mahu anak-anak mengubah hidup kami sekeluarga dan saya tahu pendidikan itu caranya. Cuma, bila masuk sekolah menengah banyak belanja diperlukan berbanding sekolah rendah dan saya takut tidak mampu untuk hantar Jelita anak sulung kami tahun depan sekolah menengah walaupun dua anak lagi belum cukup umur bersekolah,” katanya. 

Kesukaran hidup itu menyebabkan kebanyakan masyarakat Orang Asli terpaksa mengutamakan ‘makanan’ berbanding ‘pendidikan’ dan menurut Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Mustafa Along, 35, situasi berkenaan tidak hanya berlaku di Pos Simpor tetapi majoriti kawasan pedalaman lain. 

Kesempitan hidup membuatkan mereka terpaksa mengutamakan dahulu makanan keluarga apatah lagi situasi menjadi lebih parah apabila hasil tanaman musnah dirosakkan gajah atau ‘orang besar’.

Menjelaskan lebih lanjut, Mustafa berkata serangan haiwan liar itu semakin kerap sejak kebelakangan ini kesan aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah yang mengakibatkan tanaman seperti ubi kayu, sayur-sayuran dan buah-buahan musnah dirosakkan haiwan berkenaan selain nyawa mereka juga turut terancam. 

Anak-anak Orang Asli suku Temiar terpaksa bersabung nyawa untuk ke sekolah menaiki pacuan empat roda (4x4). - Gambar Bernama
Anak-anak Orang Asli suku Temiar terpaksa bersabung nyawa untuk ke sekolah menaiki pacuan empat roda (4x4). - Gambar Bernama

“Biasanya sebelum ini, duit jualan getah boleh kami simpan untuk kegunaan anak sekolah tetapi sekarang makin sukar apabila semakin banyak serangan ‘orang besar’, babi hutan, monyet di kebun kami selepas hutan di bahagian Pos Bihai, banyak diteroka menyebabkan haiwan itu cari makanan di Pos Simpor kerana hutan di sini masih lagi terpelihara. 

“Ini sangat beri kesan kepada kami sebabnya hasil cucuk-tanam itu boleh digunakan untuk menampung keperluan makanan harian tetapi kerana serangan itu, kami perlu membeli sumber makanan yang dijual di sini dengan harga sangat mahal,” katanya. 

Mustafa  memberi contoh, harga barangan dapur yang dijual di kampung itu ada yang lebih RM20 berbanding di bandar Gua Musang kerana penjual mengambil kira kos minyak, faktor pedalaman dan sekiranya orang kampung memilih ke bandar, mereka perlu menyewa kenderaan pacuan empat roda dengan kos RM800 pergi balik dan itu tidak termasuk perbelanjaan lain.

Berhenti Belajar Demi Keluarga

Pendapatan yang tidak seimbang dengan keperluan hidup harian masyarakat pedalaman menyebabkan mereka terus ‘dibelit’ kemiskinan.

Menurut Mustafa, meskipun kerajaan ada menghulurkan bantuan seperti Bantuan Musim Tengkujuh (BTM) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), namun sebahagian besar tidak layak memohon kerana ladang getah Orang Asli di pedalaman Gua Musang tidak memiliki geran.

“Dalam hal ini, Orang Asli diberikan kelonggaran untuk mendapatkan surat pengesahan dari JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) yang mereka mengusahakan ladang berkenaan. Namun, disebabkan faktor kos untuk keluar ke bandar agak tinggi, ramai tidak mendaftar dan memohon Kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), akibatnya tidak melayakkan mereka untuk menerima bantuan itu,” katanya. 

Mengakui mereka tidak ada pilihan lain, Pengerusi Wilayah Tanah Adat Kampung Orang Asli Kuala Wook, Jimi Angah, 46, berkata, situasi ini bertambah parah apabila Orang Asli yang tinggal di hutan simpan kekal tidak dibenarkan membawa keluar hasil hutan untuk tujuan komersial. 

Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bagi tujuan berkenaan diluluskan Dewan Negara pada 8 Ogos 2022 bertujuan mengawal proses pewartawaan keluar dan penggantian hutan simpan kekal serta memantapkan penguatkusaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran. 

Cuma ia juga menutup sumber rezeki utama Orang Asli yang dilakukan sejak berzaman selain getah apabila mereka tidak dapat mencari hasil hutan seperti rotan bagi menampung keperluan menyara keluarga dan menyekolahkan anak-anak. 

“Kalau dulu, berkampung dalam hutan seminggu boleh dapat lebih RM1,000 apabila dapat mencari lebih 200 rotan kerana harga rotan memang sangat mahal, sebatang boleh cecah antara RM4 hingga RM5 tetapi kami hilang rezeki itu dan susah cari makan dan hantar anak ke sekolah,” katanya.   

Kemiskinan yang membelenggu mereka sejak sekian lama membuatkan ada anak-anak pedalaman ini akhirnya hilang motivasi, minat belajar khususnya yang sekolah menengah sehingga mengambil keputusan berhenti sekolah dan keluar dari kampung untuk bekerja di luar bagi membantu keluarga.

Kemiskinan Punca Keciciran?

Bagi guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Nik Rozman Nik Yaacob, beliau tidak menafikan kehadiran murid Orang Asli yang bersekolah di situ biasanya terjejas pada awal tahun sekitar 30 peratus, pada musim tengkujuh (50 peratus) serta ketika musim buah-buahan atau menuai padi (30 peratus). 

Keadaan itu membuatkan ramai tercicir apabila tidak dapat mengikuti pembelajaran semasa yang mengakibatkan majoriti murid tidak mengingati apa yang dipelajari sekembalinya mereka ke sekolah.

“Sekolah mempunyai seramai 236 murid dan daripada jumlah itu, 109 murid menetap di asrama daripada 12 buah kampung Pos Simpor. Walaupun diberi kemudahan asrama, bantuan makanan dan sebagainya awal tahun, tetapi pada musim tengkujuh dan musim buahan-buahan, mereka biasanya tidak pergi sekolah. 

“Anak Orang Asli biasanya akan tolong ibu bapa mereka ambil hasil buah-buahan dan padi yang digunakan untuk kegunaan sendiri sebab kalau lambat, ia akan rosak selain ancaman haiwan liar. Nak upah orang, kena ada wang untuk bayar jadi lebih baik anak yang bantu,” katanya. 

Mengajukan polemik berkenaan kepada bekas senator yang mewakili masyarakat Orang Asli Datuk Isa Ab Hamid, beliau tidak menafikan ‘kemiskinan’ yang masih membelenggu komuniti itu antara punca utama berlakunya keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak mereka. 

Ini memandangkan, kadar kemiskinan masyarakat Orang Asli pada 1999 seperti yang dilaporkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) adalah sebanyak 50.9 peratus, namun menurut Isa tinjauan dan turun padang yang dilakukannya ke perkampungan Orang Asli mendapati situasi semakin serius khususnya pasca COVID-19. 

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dipetik berkata, insiden kemiskinan dalam kalangan lebih 200,000 Orang Asli di seluruh negara adalah kira-kira 34 peratus sebelum dilanda pandemik COVID-19.

Mengapa Sekolah Menengah?

Menurut Isa, berdasarkan kajian, kadar kemiskinan Orang Asli ketika ini adalah lebih tinggi daripada kadar kemiskinan keseluruhan negara selepas COVID-19 yang mana status kampung Orang Asli yang masih mundur adalah 41.4 peratus, sederhana (52.6 peratus) dan jika dijumlahkannya, ia lebih 90 peratus. 

“Malah ada satu kajian di Perak sahaja, kadar kemiskinannya sebanyak 54 peratus meliputi pedalaman, pinggir dan bandar. Kemiskinan ini adalah faktor utama mengapa ramai tidak dapat menyambung pelajaran sekolah menengah serta gagal mendapatkan pendidikan berkualiti,” kata Isa. 

Beliau berkata situasi itu yang tidak hanya berlaku di Pos Simpor tetapi juga pedalaman lain semakin membarah ketika COVID-19 apabila ramai yang gagal mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan tiada akses peranti, jaringan Internet dan juga kemudahan elektrik. 

Kementerian Pendidikan (KPM) pada November 2021 dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, memaklumkan sebanyak 42.29 peratus murid Orang Asli tidak menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan 5 bagi 2021 manakala bagi 2020 adalah sebanyak 58.62 peratus.

“Keciciran banyak berlaku di sekolah menengah berbanding sekolah rendah yang 100 peratus Orang Asli memandangkan di sekolah ini semua layak menerima bantuan JAKOA ataupun KPM tetapi apabila mereka ke sekolah menengah arus perdana, bantuan daripada KPM seperti Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) tidak semua anak Orang Asli dapat. 

“Saringan perlu dilakukan, ada syarat tertentu perlu dipenuhi dan ada kuotanya selain RMT (Rancangan Makanan Tambahan) hanya diberikan kepada sekolah rendah sahaja,” katanya. 

Tidak menafikan pelajar sekolah menengah mendapat bantuan wang saku sebanyak RM4 sehari yang biasanya akan diberikan pada akhir bulan berdasarkan kehadiran, namun beliau berkata proses pemberian ada ketikanya cepat dan ada masanya lambat berbulan-bulan sehingga menyebabkan mereka tidak ada duit membeli makanan. 

Keadaan ini membuatkan mereka hilang motivasi belajar dan merasakan lebih baik menolong ibu bapa mencari duit khususnya bagi mereka yang berulang-alik setiap hari ke sekolah dengan perjalanan lebih tiga jam apabila terpaksa berlapar sejak awal pagi sehingga lewat petang disebabkan tiada duit membeli makanan.

Menurut Isa, situasi ini begitu meruncing terutamanya di kawasan pedalaman seperti di Gua Musang, Pahang dan Perak.

“Tidak ada masalah bagi mereka yang tinggal asrama kerana disediakan makanan tetapi ada juga pelajar Orang Asli yang ulang-alik setiap hari ke sekolah kerana ada akses jalan tar tetapi, perjalanan mereka jauh, tentunya letih, ditambah pula tidak ada makanan, ini juga perlu diberi penekanan.

“Yang penting, polemik kemiskinan yang menghambat Orang Asli perlu ditangani secara holisitik, kerana jika tidak, sampai bila-bila akan terus menjurang mereka mendapatkan pendidikan berkualiti,” katanya. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 bulan yang lalu

10,000 Orang Asli Temiar Di 7 Penempatan Terputus Hubungan

2

Kisah Kita 3 bulan yang lalu

Pastikan Tidak Lenyap, Usaha Kamuskan Bahasa Mendriq Sudah Bermula 

3

Semasa 3 bulan yang lalu

Pekerja Ladang Warga Indonesia Maut Diserang Gajah Liar

4

Semasa 3 bulan yang lalu

Mahkamah Tolak Rayuan BN Untuk Kembalikan Petisyen Pilihan Raya Gua Musang

Sorotan

1

Hampir 20,000 Buah Mangga Malaysia Dilupuskan Di Riau

2

Stoking Kalimah Allah: Jangan Ambil Tindakan Sendiri - KPN

3

PM Ziarah Menteri Agama Terima Rawatan Di Hospital Putrajaya

4

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

5

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

6

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

7

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis

Disyorkan untuk anda

Semasa 4 jam yang lalu

Ada Keperluan Pinda Seksyen 21 Akta Polis - KPN

Luar Negara 5 jam yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

Semasa 1 hari yang lalu

Hina Agama Hindu: Zamri Vinoth Harus Segera Dihukum - MIC

oleh Sophia Ahmad

Semasa 13 jam yang lalu

16 Kereta Dan 3 Rumah Rosak Akibat Pokok Tumbang Susulan Hujan Lebat Di KL