Berita Terkini

3 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 4 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Pastikan Tidak Lenyap, Usaha Kamuskan Bahasa Mendriq Sudah Bermula 

Kisah Kita Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 13 Dec 2023 8:15AM

Sukarelawan Wikipedia Malaysia mencatat perkataan dan ayat yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq ketika ditemui BERNAMA di Kampung Lah baru-baru ini. gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

GUA MUSANG - Suasana di ruang solat sebuah surau kecil di Kampung Lah di sini, hingar  bingar, namun tidak berbekas pada seorang wanita yang begitu asyik merenung peranti pintar di tangan, seolah-olah ralit dalam dunianya sendiri.

Jari jemari lincah menekan aksara pada skrin sambil bibir yang dioles lipstik merah terkumat-kamit. Seketika kemudian jarinya terhenti menekan, kepala diangkat dan matanya melingas, meninjau sekeliling.

“Tuan, boleh bantu saya?” pintanya kepada seorang lelaki yang sebelum itu mundar-mandir dalam kalangan hadirin di surau tersebut.

Pemilik nama Ida Terang itu adalah antara 20 orang daripada suku Mendriq, komuniti Orang Asli yang bahasanya diancam kepupusan, dan mereka terpilih bagi membantu usaha memartabat serta memelihara bahasa tersebut.

Sukarelawan Wikipedia Malaysia mencatat perkataan dan ayat yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq ketika ditemui BERNAMA di Kampung Lah baru-baru ini. gambar BERNAMA
Sukarelawan Wikipedia Malaysia mencatat perkataan dan ayat yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq ketika ditemui BERNAMA di Kampung Lah baru-baru ini. gambar BERNAMA

Memanfaatkan teknologi, tugas Ida dan peserta lain adalah memasukkan istilah bahasa Mendriq beserta makna bahasa Melayu dalam Wikikamus, kamus dalam talian kendalian Wikimedia Malaysia yang melaksanakan inisiatif itu susulan laporan eksklusif BERNAMA bertajuk 'Bahasa Mendriq Dijangka Pupus 20 Tahun Lagi', pada Jun lalu.   

“Saya berasa amat gembira sebab tidak sangka ada pihak yang berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai bahasa kami dan berusaha memeliharanya dengan menyimpan bahasa kami dalam kamus.

“Saya rasa langkah ini bukan sahaja dapat menjamin masa depan bahasa kami tetapi juga memudahkan ahli masyarakat, sama ada dalam kalangan kami sendiri atau orang luar, mengakses bahasa Mendriq,” katanya kepada BERNAMA. 

Bersemangat 

Bekerja sebagai guru agama, Ida dan 19 lagi peserta berusia antara 20 hingga 50 tahun, 'berkampung' selama dua hari di surau itu baru-baru ini, mengikuti bengkel anjuran Wikimedia Malaysia dan sukarelawan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ibu kepada dua orang anak yang masih kecil itu mengakui agak mencabar baginya untuk menguasai teknologi telefon pintar tersebut, namun isu berkenaan tidak menghalangnya untuk menyumbang demi kelangsungan bahasa ibunda.

Berjaya memasukkan 30 perkataan dalam masa sejam, wanita berusia 33 tahun itu berkata, dia akan terus berusaha memasukkan lebih banyak perkataan dari semasa ke semasa.

BERNAMA yang turut menghadiri bengkel berkenaan mendapati peserta begitu bersemangat untuk membantu, dengan masing-masing - ada yang membawa cucu - datang seawal jam 9 pagi, sekalipun bengkel dijadualkan pada 10 pagi.

Sepanjang dua hari itu, Wikikamus berjaya menyimpan 340 patah perkataan dan 107 klip audio sebutan bahasa Mendriq.  

Kaum wanita masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq mencatat perkataan dan ayat yang digunakan mereka ketika ditemui BERNAMA di Kampung Lah baru-baru ini. gambar BERNAMA
Kaum wanita masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq mencatat perkataan dan ayat yang digunakan mereka ketika ditemui BERNAMA di Kampung Lah baru-baru ini. gambar BERNAMA

Dalam laporan Jun lalu, warga tua suku Mendriq meluahkan keresahan mengenai masa depan bahasa suku kaum mereka. Kata mereka, bahasa itu diancam kepupusan kerana jumlah penutur semakin berkurang.

Lebih parah, golongan muda mereka juga tidak lagi mengutamakan bahasa Mendriq dalam percakapan harian, sebaliknya selesa berbahasa Melayu loghat Kelantan. 

Komuniti mereka juga semakin mengecil, iaitu cuma sekitar 600 orang ketika ini, dan Mendriq yang juga subkumpulan Orang Asli Negrito, hanya ditemukan di tiga lokasi di Kelantan, iaitu Kampung Lah di sini dan Kampung Pasir Linggi serta Sungai Tako di Kuala Krai. 

[Di Semenanjung Malaysia, terdapat tiga kumpulan Orang Asli iaitu Senoi yang mewakili 55.09 peratus, Melayu Proto (41.97 peratus) dan Negrito (2.94 peratus). Di bawah keluarga Senoi ada suku Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri dan Mah Beri, sementara Melayu Proto dibentuk oleh etnik Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kanaq, Orang Seletar dan Orang Kuala. Kumpulan Negrito pula terdiri daripada Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Lanoh dan Bateq]

Bukan Mudah 

'Luar jangkaan', demikian respons Bendahari Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia, Mohd Taufik Rosman apabila ditanya mengenai semangat masyarakat suku Mendriq terhadap usaha tersebut.

Tidak menyangka usaha pertama itu membuahkan hasil, beliau berkata, pelbagai aktiviti diatur sepanjang dua hari program diadakan dengan penekanan adalah pada usaha memesrakan penduduk dengan platform dalam talian yang digunakan, selain diajar menulis rencana pendek, memasukkan gambar dan audio sebutan perkataan.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi, beliau mendapati peserta muda boleh berbahasa Mendriq, namun tidak lancar, selain sudah bercampur dengan bahasa Orang Asli Temiar yang tinggal di kampung berhampiran.

“Oleh itu, kami gandingkan peserta muda dan berusia supaya dapat memastikan perkataan yang didokumenkan tersebut tepat. Kebanyakan orang muda ini tidak begitu tahu perkataan berkaitan alam sekitar seperti bukit, pokok dan kosa kata mereka juga tidak luas,” tambah Mohd Taufik.

Selain itu, isu ejaan juga turut mengekang proses dokumentasi. 

"Disebabkan oleh bahasa Mendriq adalah bahasa lisan yang tidak pernah dibukukan, maka amat sukar untuk mendapatkan ejaan yang tepat," katanya. 

 Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Fazal Mohamed Sultan (tengah) bertanyakan sesuatu kepada Penghulu Kampung Orang Asli Kuala Lah kaum Mendriq, Ali Lateh (kanan) berhubung perkataan dan ayat yang digunakan oleh kaum Mendriq ketika ditemui BERNAMA di Kampung Lah baru-baru ini. gambar BERNAMA
Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Fazal Mohamed Sultan (tengah) bertanyakan sesuatu kepada Penghulu Kampung Orang Asli Kuala Lah kaum Mendriq, Ali Lateh (kanan) berhubung perkataan dan ayat yang digunakan oleh kaum Mendriq ketika ditemui BERNAMA di Kampung Lah baru-baru ini. gambar BERNAMA

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, Wikimedia Malaysia mengundang Prof Madya Dr Fazal Mohamed Sultan, pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang pernah membuat kajian mengenai bahasa Mendriq, sebagai pakar rujuk.

“Apabila kita hendak mengamuskan sesuatu perkataan, langkah paling penting adalah memastikan ejaannya tepat kerana perkataan tersebut akan menjadi rujukan generasi akan datang. Atas sebab itulah aspek ini amat penting,”  kata Mohd Taufik.

Menurutnya, antara perkataan yang sukar dieja adalah 'kenmoh' atau 'kermoh' bermaksud 'nama' kerana sebutan dalam kalangan orang Mendriq itu sendiri juga berbeza.

“Perkataan seperti ‘nes’ (tikar) juga sukar dieja kerana disebut dalam nada sengau,” ujar beliau. 

Turut menjadi cabaran adalah mengenal pasti golongan kata, sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas. 

“Selain itu, mereka juga sukar menulis karangan yang agak panjang, walaupun tajuk sekadar ‘Ini Rumah Saya’,” tambah beliau. 

Cekal  

Biarpun berdepan kesukaran - memahirkan diri dengan teknologi dan juga proses memasukkan perkataan dalam kamus - tidak ada peserta yang patah semangat.

Malah, kata Mohd Taufik,  peserta, baik tua ataupun muda, menunjukkan kepuasan dan kegembiraan apabila berjaya melaksanakan tugas mereka.

Bagi memastikan keberkesanan usahanya, Wikimedia Malaysia turun padang, berkunjung dari rumah ke rumah suku Mendriq bagi mengumpul lebih banyak perkataan daripada mereka yang tidak dapat hadir pada bengkel itu.

Ditanya sama ada usaha itu terus mendapat sambutan selepas bengkel tersebut, beliau berkata, semakan mendapati ada tambahan perkataan baharu dalam Wikikamus.

“Kami tinggalkan nombor telefon sukarelawan untuk mereka hubungi jika ada masalah semasa masukkan perkataan dalam Wikikamus. Kami seboleh-bolehnya tidak mahu usaha dan semangat mereka ini hanya separuh jalan, sebab benda berkaitan teknologi kadang-kadang mengelirukan atau lupa, dan jika tidak ada pihak membantu, kemungkinan mereka akan hilang minat,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, Wikimedia Malaysia merancang untuk mengadakan usaha itu dalam skala lebih besar pada masa akan datang, selain melakukan promosi secara berterusan.

Sementara itu, Penghulu Kampung Lah, Ali Lateh memberitahu BERNAMA bahawa beliau tidak menyangka luahan mereka lima bulan lalu mendapat perhatian pihak berwajib.

“Pastinya  kami gembira kerana bahasa kami sekarang sudah boleh diakses oleh seluruh rakyat di dunia yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai bahasa Mendriq,” katanya. 

Kerjasama KPM 

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan balas terhadap laporan BERNAMA yang bertarikh 26 Jun itu, berkata, pihaknya akan mengenal pasti  Orang Asli Mendriq dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), supaya tradisi dan bahasa mereka dapat dipertahankan.

Jelas KPM, Jabatan Pendidikan Negeri dengan pihak sekolah turut mengadakan pelbagai aktiviti yang mampu memelihara bahasa suku kaum itu seperti pertandingan bercerita bahasa Mendriq di sekolah dalam aktiviti koakademik.

"KPM telah memperkenalkan Program Jom Belajar merangkumi Program Khas Murid Orang Asli (Prokhas) dan Chup Badui Sikulah (CBS) pada 2020 yang bertujuan menyediakan pendidikan asas serta memantapkan penguasaan kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira buat murid Orang Asli yang tidak pernah bersekolah. 

"Kita juga melaksanakan Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum (KPMPerkasaKU) untuk memastikan pembelajaran pemulihan bagi murid yang belum menguasai literasi dan numerasi di semua sekolah, termasuk di sekolah Orang Asli dan pribumi," demikian menurut kenyataan itu.

Anak-anak Orang Asli suku kaum Mendriq tidak ketinggalan untuk mengikuti sesi pembelajaran di Taman Bimbingan Kanak-kanak, Jabatan Kemajuan Masyarakat  ketika ditemui di Kampung Lah baru-baru ini. gambar BERNAMA
Anak-anak Orang Asli suku kaum Mendriq tidak ketinggalan untuk mengikuti sesi pembelajaran di Taman Bimbingan Kanak-kanak, Jabatan Kemajuan Masyarakat ketika ditemui di Kampung Lah baru-baru ini. gambar BERNAMA

Kementerian itu juga berkata, pihaknya komited dalam memberikan pendidikan terbaik kepada semua murid termasuk daripada komuniti Orang Asli. 

Antara pendekatan yang diambil adalah mengadakan sesi libat urus membabitkan agensi kerajaan seperti Jakoa, Jabatan Kesihatan Negeri serta ibu bapa, ketua komuniti dan badan bukan kerajaan serta tok batin, bagi memberikan kesedaran akan kepentingan pendidikan kepada masyarakat Orang Asli.

Untuk rekod, hingga Jun tahun ini, seramai 153 pelajar daripada Orang Asli kaum Mendriq telah mendapat pendidikan di sekolah rendah dan menengah sekitar Kuala Krai dan Gua Musang, Kelantan, merangkumi 80 murid sekolah rendah dan 73 pelajar sekolah menengah. 

JAKOA Komited 

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor, agensi tersebut telah menerbitkan kamus bagi tiga bahasa komuniti Orang Asli terbesar, iaitu  Melayu-Proto, Negrito dan Senoi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2011.

Bagaimanapun penerbitan kamus untuk jualan ditangguhkan disebabkan oleh kekangan peruntukan, katanya, menambah masalah tersebut tidak akan menghalang usaha JAKOA untuk memulihara dan mempertahan pengetahuan tradisional serta warisan bahasa Orang Asli.

"JAKOA tidak ada peruntukan khusus bagi mengekalkan bahasa Mendriq kerana terdapat lebih 18 bahasa Orang Asli lain di Malaysia. Mengikut data JAKOA, kaum Mendriq berjumlah 532 orang dengan kebanyakannya menetap di Gua Musang,” katanya kepada BERNAMA.

Sehubungan itu, Sapiah berkata, pihaknya amat mengalu-alukan usaha pihak lain termasuk agensi kerajaan yang ingin bekerjasama bagi memartabatkan bahasa Mendriq. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Pendidikan 3 minggu yang lalu

Sekolah Padat: KPM Rangka Intervensi Jangka Panjang, Pendek - Fadhlina

2

Semasa 1 bulan yang lalu

97.8 Peratus Projek Penyelenggaraan Tandas Sekolah Siap Sepenuhnya

3

Semasa 4 bulan yang lalu

10,000 Orang Asli Temiar Di 7 Penempatan Terputus Hubungan

4

Semasa 4 bulan yang lalu

Pekerja Ladang Warga Indonesia Maut Diserang Gajah Liar

Sorotan

1

Misi Gaza Freedom Flotilla Ditangguhkan, Peserta Dinasihat Pulang - Ann Wright

2

Kerajaan Tidak Bercadang Gantung Sementara Perkhidmatan Helikopter Jenis Fennec, HOM

3

Tiada Tepung Di Pasaran Tempatan Mengandungi Benzoil Peroksida Melebihi Kadar Dibenarkan - KKM

4

Proses Penamaan Calon PRK KKB Lancar - Polis Selangor

5

Dakwa Kerajaan Ambil Tindakan Terhadap Kritikan, Syed Saddiq Diminta Tidak Hipokrit - Fahmi

6

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM