web statsweb stats

Berita Terkini

5 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 5 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


DidikTV, Bagai Melepas Batok Di Tangga?

Semasa Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Feb 2021 8:33AM

Seorang pelajar menonton saluran DidikTV - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR : Siaran TV Pendidikan atau DidikTV KPM baru dilancarkan dalam tempoh tidak sampai 72 jam, namun kehangatan yang dicetuskan sudah berupaya menenggelamkan bahang dihasilkan gosip artis terkenal.

Disiarkan setiap hari seawal 7 pagi sehingga 12 tengah malam, saluran yang mengambil alih rangkaian NTV7 itu diibaratkan seperti nafas baharu TV Pendidikan, dan usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan akses pengajaran serta pembelajaran berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

Di kala kehadiran saluran informatif itu seharusnya diraikan, lain pula halnya apabila episod sulung saluran terbabit dibanjiri kecaman ramai, yang bukan hanya mempersoalkan pengisian, tetapi turut mempertikaikan corak penyampaian guru bagi subjek tertentu.  

Kaku, tergagap-gagap, tidak bersedia, penyampaian tidak menarik, kesalahan tatabahasa; itu antara ulasan ‘nakal’ netizen yang dilihat membanjiri ruangan komen, ketika berita mengenai pelancaran saluran televisyen berkenaan dimuat naik ke media sosial.

Ia merujuk kepada satu slot, membabitkan seorang guru yang sedang mengajar mata pelajaran Sains Tahun 2 di dalam Bahasa Inggeris.

Penyampaian dan penerangan guru itu disifatkan terlalu mendatar dan tidak mampu menarik perhatian pelajar, apatah lagi apabila ia disulami pelbagai kesalahan tatabahasa.

Walaupun akhirnya sudah dijelaskan bahawa guru berkenaan menawarkan diri secara sukarela, peranan syarikat produksi yang terbabit dalam penerbitan siaran ilmiah itu meraih persoalan ramai.

Bagaimana sebuah saluran penuh informasi yang tampil dengan objektif mahu meraih minat pelajar dihasilkan sebegini rupa?

Maklum dengan asal usul kelahiran DidikTV sebagai pengganti saluran televisyen NTV7, ramai menjangkakan siaran ilmiah itu setidak-tidaknya bakal menemui penonton dengan penuh bergaya, apatah lagi selepas mengambil kira segala perancangan yang pastinya mengambil masa bukan sekejap.

Justeru, agak ‘menakjubkan’ apabila DidikTV dilihat hanya gah pada nama, namun gagal memikat hati penonton dengan rencah yang selayaknya ada.

Apakah barisan tenaga kerja NTV7 tidak dipanggil bagi memberikan buah pandangan masing-masing, atau setidak-tidaknya diberi mandat melatih barisan penyampai DidikTV agar lebih berketerampilan dan tidak kaku di depan kamera?

Atau apakah barisan perancang saluran itu terlepas pandang elemen ini, yang sebenarnya adalah sauh dalam memikat hati penonton agar terus terpaku di depan televisyen?

Sebagaimana menarik pun pengisian atau kandungan sesebuah rancangan, penampilan dan kebolehan penyampai dalam menambat minat penonton amat perlu dititikberat.

DidikTV pastinya bukan satu buah tangan syok sendiri Kementerian Pendidikan, justeru mengapa penekanan ke atas pemilihan penyampai seolah tidak dipandang serius dalam hal ini?

Dengan andaian perancangan menubuhkan saluran ini sudah terhasil sejak sekian lama, mengapa kementerian atau pihak lain berkaitan tidak mengambil inisiatif, melatih barisan guru yang bakal terbabit sebagai penyampai?

Bukan perlu anggun menawan seperti Pengacara Jemputan Nona, tetapi latihan dari awal mampu membantu mereka untuk lebih bersedia, mesra kamera dan berupaya menarik minat penonton.

Lebih mengejutkan, barisan guru bersiaran secara langsung itu diminta menulis skrip mereka sendiri, sedangkan kementerian boleh sahaja memanfaatkan petugas teknikal yang relevan dalam menguruskan perincian berkenaan.

Nah, apakah DidikTV hanya sekadar pelaburan jangka pendek untuk mengubat lara ibu bapa yang risaukan persekolahan anak masing-masing, maka penghasilannya dibuat ‘sekadar ada’?

Benar, tidak adil untuk kita menjatuhkan hukum terlalu awal, namun bersendikan fakta dan mengambil kira teori bahawa penubuhan saluran ini pastinya terhasil menerusi perbincangan atau kajian rapi, adalah sukar untuk menepis rasa kecewa yang terlahir apabila mata berlabuh ke atas rancangan berkualiti ‘asal boleh’.

Bukan niat untuk menuding jari, namun menyampaikan kebenaran itu amat dituntut walaupun pahit bagaikan jadam.

Dalam menzahirkan transformasi pendidikan untuk membentuk generasi muda berkualiti cemerlang, DidikTV seharusnya muncul sebagai antara aset yang boleh dibanggakan, bukan sekadar berakhir sebagai satu sendaan ramai.

Apapun, usia masih setahun jagung dan darah juga masih setampuk pinang, justeru ruang untuk penambahbaikan tidak pernah sirna.

Terpulanglah pada peneraju DidikTV, sama ada mahu menjadikan semua kecaman itu sebagai pembakar semangat dan bangkit dengan gagah, atau kekal sebagaimana asal, tanpa ada kemahuan untuk berubah.

Orang ramai akan setia sebagai pemerhati, kerana itu memang tugas mereka sejak azali. – Getaran, 20 Februari 2021

Berita Berkaitan

1

Pendidikan 2 jam yang lalu

Malaysia Sedia Bantu Pelajar Palestin, Bina Semula Kekuatan Bangsa - Zambry

2

Pendidikan 3 hari yang lalu

Salah Laku Seksual Babitkan Pelajar: Jangan Tunggu Kes Tular Untuk Bertindak

3

Pendidikan 1 bulan yang lalu

Lebih 12,000 Guru Bersara Setiap Tahun, Jurang Usia Antara Pendidik Cetus Kebimbangan 

4

Pendidikan 1 bulan yang lalu

Mata Pelajaran Sejarah, Bahasa Melayu Kekal Syarat Wajib Ke IPTA - Zambry

Sorotan

1

Sindiket Jual Ubat Tak Berdaftar Tumpas, Babit Nilai RM5.6 Juta

2

Hubungan Iran-AS Tunjuk Isyarat Positif, Selat Hormuz Perlu Dibuka Semula - PM 

3

Penjenamaan Semula PAS Tugas Berat, Persepsi Awam Sukar Diubah - Penganalisis

4

Pemandu Lori Nahas Maut Karak Miliki 15 Rekod Saman

5

Kerugian Jenayah Siber Cecah RM3 Bilion, Penipuan Dalam Talian Meningkat 87 Peratus

6

Tragedi Zaid Ibrahim; Ahli Politik Yang Berhutang Penjelasan

Disyorkan untuk anda

Politik 1 jam yang lalu

‘Adakah Saya Angkuh Jika Dengar Suara Majoriti Bangsa Johor?’ - Onn Hafiz

oleh Sophia Ahmad

Semasa 50 minit yang lalu

X70 Bertembung Dengan Treler; Ibu, Anak Lelaki 10 Tahun Maut

oleh Sophia Ahmad

Semasa 24 minit yang lalu

Kartel Perolehan Awam RM2.5 Juta Tumpas, 13 Individu Ditahan

oleh Sophia Ahmad

Politik 21 jam yang lalu

Penyertaan Dalam Pas Untuk Perjuangkan Reformasi - Zaid

oleh Sophia Ahmad