Berita Terkini

5 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 5 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


10 Makanan Mesti Cuba Di Indonesia

Jika ke Indonesia, adalah satu kerugian jika anda tidak merebut peluang untuk maraton kulinari. Negara ini mempunyai kepelbagaian budaya yang unik serta ajnas hidangan menambat selera.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Aug 2021 11:33AM

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Indonesia selain memiliki kanvas alam mempesona dan kepelbagaian budaya yang unik, ia juga tidak kalah dengan pelbagai hidangan menambat selera. 

Jika ke Indonesia, adalah satu kerugian jika anda tidak merebut peluang untuk maraton kulinari. 

Kini sudah hampir dua tahun kita semua tidak dapat menjejakkan kaki ke negara jiran itu gara-gara pandemik COVID-19. Apakah hidangan yang paling anda rindui? 

Berikut Getaran senaraikan hidangan yang sentiasa menggamit kehadiran pelancong.

 

1. Nasi Kucing

Gambar: Instagram @sout
Gambar: Instagram @sout

Menu popular di Yogjakarta. Nasi Kucing yang mencerminkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat ini dijual pada harga yang cukup murah iaitu sekitar Rp3000 (sekitar RM0.90) ke Rp10,000 (sekitar RM3) sebungkus.

Kebiasaannya ia ditambah sambal, ikan dan tempe, lalu dibungkus menggunakan daun pisang. Namun untuk menambah selera, terdapat banyak lauk-lauk lain yang boleh dibeli untuk dinikmati bersama ‘Nasi Kucing’. Lauk-lauk tambah ini juga dijual pada harga yang murah.

Nasi kucing dijual di gerai-gerai tepi jalan atau kaki lima yang dikenali sebagai angkringan. 

Pengalaman makan di angkringan memang menyeronokkan. Lebih-lebih lagi jika menikmatinya dengan bersila. Jika datang bersama rakan-rakan, sebungkus nasi memang tidak cukup, paling kurang tiga bungkus. 

 

2. Bakpia

Gambar: Rahayu MN
Gambar: Rahayu MN

Kuih berbentuk bulat ini mempunyai pelbagai perisa dan ia mudah dibawa pulang kerana dipek di dalam kotak kecil. Terkenal di Yogjakarta dan sering dijadikan buah tangan atau oleh-oleh. Jika diperhatikan, biskut ini punya persamaan dengan sejenis biskut masyarakat Cina.

Bakpia adalah makanan yang dibuat daripada campuran kacang hijau dengan gula, yang dibungkus dengan tepung, lalu dipanggang. Istilah Bakpia sendiri adalah berasal dari dialek Hokkien, iaitu dari kata ‘bak ’yang bermaksud daging dan ‘pia’ yang bermaksud kuih.

Kalau versi original, Bakpia berintikan daging babi, tetapi memandangkan masyarakat Yogyakarta majoritinya beragama Islam, jadi ia telah diubah suai bagi menepati cita rasa tempatan.  Antara perisa yang popular ialah kacang hijau, coklat, keju, strawberi dan nanas.

 

3. Ceker Setan 

Gambar: Instagram @snekcrunch4
Gambar: Instagram @snekcrunch4

Menu ini sangat popular di kalangan penduduk Malang, bandar yang terletak kira-kira 2 jam daripada ibu kota Surabaya, Indonesia.

Ceker setan adalah masakan kaki ayam yang digoreng dengan sambal istimewa yang sangat pedas. ‘Ceker’ dalam bahasa Malaysia ialah kaki ayam, manakala perkataan ‘setan’ digunakan bagi menggambarkan tahap kepedasan menu tersebut.

Biarpun pedas, tetapi rasanya cukup enak, terutamanya jika anda gemar masakan pedas.

Menu popular ini tidak dijual bersama nasi kerana ia adalah makanan lewat malam di kalangan muda-mudi yang suka nongkrong (lepak) di lewat malam, terutamanya di hujung minggu.

Ceker Setan paling popular di Malang ialah Ceker Setan Pak Sugeng. Selain kaki ayam, ada juga gerai yang menyediakan pilihan kepak ayam.

 

4. Bakso Malang

Gambar: Instagram @carikulinersolo
Gambar: Instagram @carikulinersolo

Satu lagi hidangan yang mesti dicuba jika ke Malang ialah aneka bakso. Memang benar hidangan ini tidak susah hendak dicari. Malah di sini juga banyak terjual. Tetapi, bakso yang ada di Malang tiada tandingannya. Rakyat Indonesia sendiri ‘memburu’ bakso apabila berlibur ke Malang.

Bakso adalah bebola daging yang dihidang dengan pelbagai rencah atau campuran lain. Jika di sini selalunya ia dicampur dengan mi atau mihun, tetapi jika di Indonesia, khususnya Malang, bakso dimakan dengan pelbagai cara. 

Ada bakso yang dicampur dengan tauhu, mi segera, suhun, nasi dan disumbat dengan pelbagai jenis isi bagi mencipta kelainan. Antara hidangan bakso yang menarik untuk dicuba ialah bakso beranak, bakso bakar, bakso kelapa muda, bakso penyet dan bakso keju.

 

5. Nasi Goreng

Gambar: Rahayu MN
Gambar: Rahayu MN

Nasi Goreng Indonesia punya keunikan tersendiri. Biarpun hidangan ini ada di mana-mana dan menjadi menu sarapan pagi di kebanyakan isi rumah di Malaysia, tetapi nasi goreng yang ada di Indonesia sentiasa menjadi buruan. Kalau bercuti ke sana, menu ini termasuk dalam senarai mesti cuba.

Sesuai namanya, nasi goreng adalah hidangan nasi yang digoreng. Umumnya, nasi digoreng bersama kicap manis, bawang merah, bawang putih, lada dan bumbu-bumbu lainnya. Kemudian disajikan bersama telur, ayam goreng dan keropok sayur. 

Terdapat rangkaian restoran nasi goreng yang popular di Indonesia iaitu Nasi Goreng Rempah Mafia.

Di sini anda boleh menikmati lebih daripada 10 jenis nasi goreng yang dimasak menggunakan rempah-ratus istimewa dan yang paling menarik anda boleh pilih tingkat kepedasan.

Daripada menenangkan (tidak pedas) sehinggalah membunuh (super pedas). Setiap jenis nasi goreng di sini dinamakan dengan gelaran-gelaran samseng seperti God Father, Gangster, Yakuza, Badboyz, Preman dan Triad.

 

6. Rawon

Gambar: Instagram @lily.setiadinata
Gambar: Instagram @lily.setiadinata

Hidangan yang berasal dari Jawa Timur ini mempunyai rasa istimewa. Lihat sahaja ekspresi wajah Dian Sastrowardoyo ketika menikmati hidangan ini dalam filem Aruna dan Lidahnya. Terliur dibuatnya.

Sup ini mempunyai rasa masam, manis dan mewah dengan rasa rempah ratus. Ia adalah sup daging lembu berkuah hitam yang selalunya dimakan bersama nasi panas.

Daging rawon biasanya menggunakan daging di bahagian dada (brisket) dan dipotong kecil-kecil. Cara penyediaannya juga tidak renyah dan salah satu ramuan yang digunakan untuk rawon ialah buah keluak.

Untuk melengkapkan hidangan, sup rawon seringkali didatangkan bersama telur masin, tauge, hirisan limau nipis, keropok udang dan sambal. 

 

7. Soto Betawi

Gambar: Instagram @fotoprodukcikarang
Gambar: Instagram @fotoprodukcikarang

Hidangan yang satu ini punya banyak versi. Boleh dikatakan setiap daerah punya menu soto yang tersendiri. Berbeza dengan di Malaysia di mana soto di sini hanya disediakan bersama nasi impit, mi kuning dan bihun.

Kalau di Indonesia variasinya sangat banyak. Puluhan atau mungkin lebih. 

Antara yang popular ialah Soto Betawi yang berasal dari Jakarta. Menu ini pasti tercetak di senarai menu kebanyakan restoran yang menjadi tumpuan ramai.

Soto Betawi menggunakan santan untuk menghasilkan rasa lemak sempurna. Malah, ia juga memberikan rasa rempah yang kuat. Bahan utama soto ini sudah pastilah daging lembu yang dimasak sehingga empuk.

Tiada nasi impit, tiada mi kuning, tiada bihun, sebaliknya ia dimakan begitu sahaja atau dihidangkan bersama nasi putih dan sambal.

 

8. Sate Minang / Padang

Gambar: Instagram @eatandjournal
Gambar: Instagram @eatandjournal

Sedap memikat selera. Bagi yang pertama kali menikmati hidangan berasal dari Sumatera Barat ini mungkin ada yang berasa pelik kerana ia tidak dimakan bersama kuah kacang. Sebaliknya dihidangkan bersama kuah kuning pekat berempah istimewa.  

Untuk membuat sate ini, daging lembu, atau ayam akan direbus dan kemudian dipotong dadu dan direbus dua kali sebelum diperap dengan rempah-ratus untuk membangkitkan rasa. Air rebusan ini tidak akan dibuang kerana ia akan digunakan untuk membuat kuah kuning. 

Terdapat 19 jenis bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan kuah istimewa ini seperti bawang merah, bawang putih, kunyit, halia dan serai serta campuran beberapa jenis cili.  Satu lagi kelainan yang ada pada sate minang ialah, ia dihidangkan bersama kuah dengan ditabur hirisan bawang goreng.

 

9) Nasi Uduk

Gambar: Instagram @ini.kediri
Gambar: Instagram @ini.kediri

Antara menu sarapan yang popular di Indonesia. Jika Malaysia boleh berbangga dengan nasi lemak, Indonesia mempunyai nasi uduk yang harumnya semerbak kerana dimasak dengan santan kelapa, daun sireh, daun salam, daun pandan, dan juga dicampur dengan sedikit ketumbar dan garam. 

Nasi uduk dimakan dengan pelbagai pilihan lauk seperti ayam goreng rempah, telur dadar, tempe goreng, bakwan goreng, telur berlado, bihun goreng dan ayam bakar dan sambal pedas.

Selalunya hidangan Betawi ini dijual dalam balutan daun pisang dan ia boleh dibeli pada harga Rp10,000 (sekitar RM3) hinggalah ke Rp50,000 (sekitar RM15) (bergantung kepada jenis lauk).

Dek popularitinya, McDonald Indonesia turut menjualnya sebagai menu sarapan pagi.

 

10) Ayam Bakar Taliwang

Gambar: Instagram @iwanlaksmana
Gambar: Instagram @iwanlaksmana

Ayam Bakar Taliwang merupakan hidangan istimewa berasal dari Lombok. Rasanya pedas menyengat, tetapi membuka selera.

Paling enak dimakan bersama sepinggan nasi panas dan plecing kangkung segar (kangkung rebus dengan paduan sambal pedas). Gaulkan pula nasi bersama kicap manis. Bukan kepalang nikmatnya.

Ayam Bakar Taliwang menggunakan ayam kampung yang hanya berusia beberapa minggu. Terdapat dua cara untuk menyediakan hidangan ini. Dibakar di atas bara api arang dan digoreng. 

Rempah yang pedas dilumurkan pada ayam selama proses memasak sehingga kepedasannya meresap ke dalam daging ayam. Bagaimanapun, ada juga yang memasaknya dengan cara moden dengan memanggang di dalam ketuhar. - Getaran, 14 Ogos 2021

Isu Pada

Whulandary – Puspa Bangsa Di Bumi Malaysia

14 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

TARA 1 tahun yang lalu

Rebut Peluang Beraya Sambil Bercuti Bersama Keluarga, Sudahkah Anda Memilih Destinasi Yang Sesuai? 

2

TARA 1 tahun yang lalu

Percutian Ke Pantai, Kaca Mata Hitam Item Fesyen Mesti Bawa

3

TARA 1 tahun yang lalu

Tokyo Town 101 Ubat Kerinduan Percutian Ke Jepun

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Sektor Pelancongan Kembali Rancak, Ombak Villa Tawar Tarikan Buat Mempelai

Sorotan

1

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

2

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

3

OIC Kutuk Pembunuhan Beramai-ramai Berterusan Israel Di Semenanjung Gaza

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut