KUALA LUMPUR - Tadbir urus yang baik dan kestabilan politik merupakan asas yang tidak boleh dipisahkan daripada kemakmuran sesebuah negara, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda bertitah, kekayaan sumber semula jadi, rakyat yang berbakat serta warisan budaya yang kaya sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemajuan negara tanpa institusi yang kukuh dan kepimpinan yang berintegriti serta bertanggungjawab.
Bertitah ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Ke-8 mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) 2026 di Ipoh hari ini, baginda menegaskan, sesebuah negara akan berdepan kesukaran untuk mencapai kemakmuran sekiranya institusi negara lemah dan kepimpinan politik lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding tanggungjawab terhadap rakyat.
Titah baginda, kuasa dalam pemikiran politik Islam bukanlah suatu keistimewaan, sebaliknya amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan atas amanah tersebut.
“Apabila seseorang pemimpin mula melihat jentera kerajaan sebagai alat untuk memenuhi kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu, pemimpin itu bukan sahaja mengkhianati undang-undang, malah melanggar amanah yang jauh lebih besar.
“Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa setiap daripada kita ialah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka yang berada di bawah jagaannya,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, tadbir urus yang baik memerlukan institusi negara yang kukuh, ketelusan pengurusan kewangan awam serta pelaksanaan kedaulatan undang-undang secara adil dan saksama tanpa mengira kedudukan seseorang.
Baginda turut menyeru pembentukan budaya politik matang, yang membolehkan perbezaan pandangan disuarakan secara berhemah, pembangkang diiktiraf sebagai mekanisme semak dan imbang yang sah, serta peralihan kuasa dilaksanakan secara aman selaras dengan kehendak rakyat.
“Makna sebenar kestabilan politik bukanlah ketiadaan perbezaan pandangan, tetapi memastikan perbezaan itu disalurkan melalui institusi yang sah dan bukannya melalui keganasan atau kekacauan.
“Kegagalan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya, kebebasan badan kehakiman dan integriti institusi awam akan menghakis kepercayaan terhadap sistem.
“Golongan pertama dan paling terkesan ialah mereka yang miskin, terpinggir dan tidak mempunyai suara,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa prinsip “Everyone Matters” atau “Setiap Orang Penting” perlu bermula dalam pentadbiran kerajaan menerusi penyediaan belanjawan yang mencerminkan nilai-nilai moral serta mengutamakan kebajikan rakyat.
Baginda bertitah, perkhidmatan awam yang berkecuali dan berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik merupakan manifestasi sebenar perpaduan negara.
“Pemimpin yang mentadbir dengan rendah hati, bersedia mendengar sebelum membuat keputusan dan sentiasa mengingati bahawa kuasa hanyalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka akan lebih berjaya menyemai kesetiaan serta kebanggaan rakyat berbanding apa jua slogan.
“Ketika dunia Islam terus berdepan pelbagai cabaran, saya menyeru para penggubal dasar agar menyedari bahawa tadbir urus yang baik bukanlah suatu kemewahan yang hanya diperlukan ketika negara makmur, sebaliknya merupakan prasyarat utama untuk mencapai kemakmuran itu sendiri,” titah baginda. - Getaran, 21 Julai 2026

