KUALA LUMPUR - Tiga lelaki maut selepas sebuah lori lima tan yang membawa bekalan ayam merempuh sebuah treler yang diparkir di bahu jalan di Lebuhraya Timur-Barat, Tanah Merah, Kelantan awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, mangsa yang terkorban ialah pemandu lori, Norazeman Abdul Aziz, 42, serta dua kelindan, Mohd Haikal Hanifah, 29, dan Mohammad Zakwan Mohd Nor, 16.
Komander Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Tanah Merah, Mat Nuri Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.26 pagi sebelum menggerakkan 12 anggota, termasuk seorang pegawai, ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati lori lima tan itu telah merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan.
“Akibat kemalangan, ketiga-tiga mangsa tersepit di dalam lori sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba," katanya.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Getaran, 21 Julai 2026.
