KUALA LUMPUR - Seorang ketua balai polis berpangkat Sarjan Mejar digantung tugas, selepas didakwa menerima rasuah sebanyak RM500 sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, tindakan tersebut dilaksanakan seiring dengan siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Proses ini adalah sebahagian daripada prosedur siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.
“Tindakan lanjut hanya akan diputuskan selepas semua proses siasatan selesai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan SPRM memperoleh perintah reman selama tujuh hari terhadap ketua balai polis berkenaan, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah sebanyak RM500 sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.
Perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Suspek dipercayai menerima rasuah sebanyak RM500 daripada seorang warga asing yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). - Getaran, 21 Julai 2026

