“Hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan raya, mangsa dipercayai tercampak keluar dari tingkap depan sehingga mengakibatkan badan terputus dua.”
Ya, lebih kurang begitulah contoh laporan kemalangan ngeri jalan raya. Membaca dan mendengarkan kejadian malang itu saja cukup membuatkan kita takut, apatah lagi kalau menyaksikan video yang merakamkan keadaan mangsa.
Tapi bagi segelintir ‘wartawan media sosial’ atau yang berada di lokasi, masing-masing berlari pecut seakan-akan peserta Sukan Olimpik! Mahu jadi yang pertama menyebarkan berita di taman jaringan media sosial, WhatsApp, Telegram, WeChat, Facebook dan di YouTube.
Mungkin niat mereka hanyalah sekadar untuk menyampaikan maklumat dengan menggunakan teknologi kini. Pastinya ia memudahkan lagi kerja pihak berkuasa untuk mengetahui adanya kemalangan jalan raya sekali gus memberi kesedaran kepada pembaca.
Pun begitu, penyebaran dibuat hanya dengan sekali press enter and publish, copy paste and forward! Adakah video rakaman atau gambar keadaan aib mangsa itu sudah disunting kemas, yakni menutupi aib mangsa?
Itu satu. Dapat pula pembaca kaki kongsi, hanya dalam beberapa minit saja artikel itu sudah tular.
Tetapi cuba anda bayangkan. Bagaimanakah perasaan anda jika yang terbabit dalam kemalangan tersebut merupakan salah seorang ahli anggota keluarga anda?
Mungkin tiada rasa ketika ini kerana belum terjadi bukan? Berdoa semoga ahli keluarga dan diri kita dijemput dalam keadaan yang baik-baik sahaja.
Penulis kali ini terpanggil untuk menyentuh sikap ‘wartawan media sosial.’ Di satu dacing sudah terletaknya kebaikan, tapi sebelah yang buruk menjadi lebih berat. Hal itu kerana, penyampaian berita yang tidak beretika dan tidak profesional menyebabkan aib keadaan mangsa ‘tercabul.’
Awal Syawal baru-baru ini, sedang enak kita menjamu selera, lemang ketupat rendang semua ada, tiba-tiba berbunyi satu kiriman mesej bagaikan tamu silih berganti datang berhari raya.
Video dan gambar membabitkan seorang mangsa remaja terlibat dalam kemalangan jalan raya menemui ajal di Kilometer 179 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, Bagan Serai, Perak.
Secara peribadinya, penulis merasakan perkara sedemikian tidak wajar berlaku. Dikhuatiri material itu akan menjadi bahan mesej berangkai.
Namun, telahan benar belaka, sehingga kini video dan gambar berkenaan masih dijaja di sini sana. Tidak pasti sama ada ahli keluarga arwah sudah menyaksikan atau belum. Penulis berharap tidak, kerana ia sangat menyayat hati.
Kesimpulannya, bagi penulis sendiri, tidak kisah bagaimanapun keadaan mangsa meninggal dunia, mangsa korban berhak diberikan penghormatan tanpa jasadnya dicabul percuma bagi tujuan paparan pembaca.
Cukup keadaan kenderaan yang menyimpulkan cara pemergiannya dan dibantu oleh forensik mengesahkan laporan kematian kepada pihak berkuasa.
Bagi anda ‘wartawan media sosial’ nantikan saja hebahan berita daripada wartawan bertauliah dan kongsikan penulisan berita mereka. Apalah gunanya menjadi yang pertama sebar aib? Renung-renungkanlah. - Getaran, 30 Mei 2021