Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Fenomena Casablanca Nuha Bahrin, Naufal Azrin

Secara eksklusif, Nuha dan Naufal mendedahkan penangan Casablanca di TikTok dan impian besar mereka.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Aug 2022 9:30AM

Naufal (kiri) dan Nuha tidak menyangka lagu duet mereka mendapat sambutan dari dalam dan luar negara.

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“Siapa mereka?”

Begitulah agaknya respons yang diberikan kebanyakan orang apabila nama Nuha Bahrin dan Naufal Azrin tiba-tiba meledak setelah sebuah lagu dengan gabungan alunan muzik timur tengah dan moden bertajuk Casablanca menemui khalayak.

Dari info yang samar-samar mengenai dua penyanyi muda ini pada awalnya, mereka tidak menunggu lama mengumpul peminat dari seluruh dunia sehingga populariti mereka  meledak sekelip mata.

Suara pasangan duet itu berkumandang di mana-mana. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, Casablanca mencatatkan rekod cemerlang dengan 17 juta tontonan di YouTube. Tidak berhenti di situ, mereka turut menduduki carta teratas Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia yang jarang-jarang diisi mana-mana pendatang baharu dari Malaysia.

Kerana kegilaan ini, kami mengundang mereka untuk menjadi penghias sampul TARA  bagi bercerita lanjut formula kegilaan Casablanca ciptaan Daqmie dan Wan Saleh  serta cita-cita terbesar mereka.

Bertempat di Ramza Studio, Shah Alam, Nuha dan Naufal sudah terpacak di hadapan pintu studio sepuluh minit sebelum waktu dijanjikan. Kami terpegun dengan disiplin dan komitmen yang diberikan memandangkan kami sudah muak menunggu selebriti muda yang datang lewat sejam untuk penggambaran kami sebelum-sebelum ini.

Tempat di mana kami bermula

Ditemukan pihak pengurusan, siapa sangka rupanya Nuha Bahrin dan Naufal Azrin ada banyak persamaan. Darah seni yang mengalir dalam diri pasangan duet awal 20-an ini diwarisi daripada ahli keluarga masing-masing.

“Arwah atuk saya seorang pemain saksofon manakala nenek saya seorang penyanyi. Bakat itu kemudian turun ke bapa saya. Siapa sangka saya juga mewarisi bakat menyanyi daripada mereka.

“Kata emak, sejak kecil lagi saya suka menyanyi. Bayangkan waktu umur saya tiga tahun, kami sekeluarga terbang ke London dan sepanjang penerbangan itu saya asyik nyanyi sahaja,” cerita Nuha sambil ketawa.

Mewarisi bakat bernyanyi daripada arwah bapa, Naufal bagaimanapun sudah mula cenderung menyanyikan lagu-lagu nasyid dan qasidah sejak berumur 8 tahun lagi. Dia juga merupakan seorang penghafaz al-Quran, maka tidak hairanlah sebutan dan lenggok nyanyian timur tengahnya sangat menjadi untuk lagu Casablanca.

“Cuma selepas Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), saya betul-betul fokus untuk menyanyi,” katanya yang pernah menyertai kumpulan nasyid Zayne sebelum memilih untuk bergerak solo.

TikTok dan pengaruh ekosistem muzik dunia

Masing-masing tidak menyangka lagu duet pertama mereka mampu mencipta fenomena yang sangat besar tidak hanya di Malaysia, namun juga di luar negara. Di laman media sosial seperti TikTok, lagu Casablanca sudah digunakan dalam 1.4 juta video setakat artikel ini ditulis.

“Kami memang tak sangka. Tiba-tiba suatu pagi pengurus hubungi dan maklumkan yang Casablanca sudah tular di TikTok.

“Setelah itu jumlah tontonan makin naik mendadak tidak berhenti di YouTube. Seram juga awalnya namun kami sangat bersyukur kerana ini rezeki yang jarang orang dapat. Namun, ia memihak kepada kami kali ini,” cerita Nuha terharu.

Mereka tidak menafikan di zaman teknologi ini, media sosial banyak mempengaruhi ekosistem industri muzik dunia. Ia juga menjadi sebuah medium pemasaran yang berkesan.

“Lain orang lain rezeki. Sekarang zaman teknologi dan kita berada di zaman TikTok paling kuat mempengaruhi sesuatu produk. Di Malaysia, ada ramai artis yang mencipta fenomena dengan cara yang pelbagai. Cuma mungkin inilah jalan kami,” celah Naufal.

“Saya faham kalau ada yang skeptikal tentang trend muzik di TikTok. Jika ada yang merasakan muzik kami bukan kecenderungan anda. Tak apa, saya faham. Saya sendiri tak menyukai semua lagu.

“Saya tak rasa lagu yang viral di TikTok ada standard yang tertentu. Olivia Rodrigo tular di platform itu dan menggondol beberapa kategori Anugerah Grammy.

“Juga, pada masa yang sama, jika sesebuah lagu tidak viral di TikTok, bukanlah bermakna lagu itu tidak bagus. Ramai artis yang lagunya sedap, suara bagus tapi rezeki belum sampai,” tambah Nuha.

Terbang ke Indonesia bulan ini

Mungkin mudah bagi pemuzik Indonesia untuk mencipta nama di sini, namun tidak mudah untuk artis Malaysia dikenali di sana. Ramai yang mencuba, namun tidak berjaya. Hanya beberapa penyanyi sahaja yang benar-benar berjaya membuat mereka diingati di Indonesia seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Amy Search, Baby Shima dan terbaharu Masdo.

Rezeki Casablanca, mereka berjaya mencipta nama menerima beberapa jemputan program bual bicara stesen televisyen dan radio di sana. Tidak mahu menunda kesempatan, Nuha dan Naufal bakal terbang ke Indonesia 28 Ogos ini.

“Sebenarnya, 60 peratus daripada pendengar Casablanca adalah datangnya daripada Indonesia. Atas dasar menghargai mereka, kami akhirnya akan ke sana pada 28 Ogos ini sekali gus menghadiri beberapa jemputan media di sana,” dedah Naufal.

Selesa dengan genre timur tengah dan moden, ternyata Naufal dan Nuha mempunyai sebuah cita-cita yang lebih besar. Selepas berjaya menembusi pasaran Indonesia, penyanyi muda ini mempunyai perancangan lebih gila untuk menakluk pasaran timur tengah pula.

“Kebanyakan penyanyi akan menyasarkan untuk ke Amerika. Ia cita-cita yang bagus. Tapi kami sedikit berbeza kerana impian kami adalah untuk menembusi pasaran muzik di Timur Tengah.

“Menerusi analisis kami, peminat muzik mereka ada budaya yang sama dengan warga Indonesia. Maksudnya kalau mereka betul-betul sukakan artis itu, mereka akan bermati-matiannya menyokongnya.

“Itulah yang sedang kami perhatikan, dan usaha kami memang ke arah sana. Kita cuba terbaik. Kalau ada rezeki adalah. Jika tidak, tak mengapa. Tiada apa-apa yang kita rugi,” kata Nuha menutup temu ramah.

Terkini masing-masing sedang gigih mempelajari bahasa Arab. Tahniah dan semoga maju jaya kami ucapkan kepada dua bintang muda berbakat ini! - Getaran, 20 Ogos 2022

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA: Nuha Bahrin, Naufal Azrin

Pemangku Editor Gaya Hidup & Hiburan: Ellyna Ali

Teks & Penyelaras: Wafa Aula

Suntingan Teks: Faizal Salim

Arahan Seni: Wafa Aula

Jurugambar: Syeda Imran

Juruvideo: Muharram Kasim

Penata Gaya: Dean Ishak

Solekan & Dandanan: Vee Muhamad

Kanta Lekap Nuha Bahrin: Lavue.co (Kod: Sunny Brown)

Lokasi: Ramza Studio

Rekaletak: Abdul Hanif Zahari

Isu Pada

Fenomena Casablanca Nuha Bahrin, Naufal Azrin

20 Aug 2022

Berita Berkaitan

1

TARA 3 bulan yang lalu

Di Mana Mahu Dapatkan Pakaian Untuk Percutian Musim Sejuk? 

2

TARA 3 bulan yang lalu

5 Berita Hiburan Paling Panas Dan Jadi Bualan Netizen Sepanjang 2023

3

TARA 3 bulan yang lalu

5 Filem, Siri Menarik Di Netflix Untuk Tontonan Cuti Tahun Baharu

4

TARA 3 bulan yang lalu

6 Saluran Percuma Astro Sempena Tahun Baharu

Sorotan

1

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

2

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

3

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

4

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

5

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

6

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

7

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA