Berita Terkini

21 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kampung Antarabangsa Dan Perlombongan, Bukit Besi Gemilang Sejak 1929

Pada era kegemilangannya, kawasan itu didiami warga British, Amerika, Kanada, Australia, Belanda, Jerman, Afrika Selatan, India dan China.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 23 Oct 2021 8:59AM

Muzium Bukit Besi, Terengganu. Gambar: Mohd Khairul Fikiri Osman, Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sejarah perlombongan di Bukit Besi bukan sahaja memaparkan memori peninggalan penjajah dalam sosioekonomi penduduk tempatan, tetapi juga bukti wujudnya perkampungan antarabangsa di negara ini sejak 1929.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata pada era kegemilangannya, kawasan itu didiami warga British, Amerika, Kanada, Australia, Belanda, Jerman, Afrika Selatan, India dan China.

Katanya, tumpuan warga asing di situ menjadikan Bukit Besi dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuklah kolam renang pertama di Malaysia yang lengkap dengan papan anjal, dibina sekitar 1950-an.

"Bukit Besi adalah nadi pertumbuhan ekonomi yang penting dalam negara khususnya di Terengganu apabila sebuah syarikat dari Jepun, Kuhara Mining Limited diberi lesen oleh kerajaan negeri memulakan aktiviti perlombongan pada Mei 1930.

"Ia sentiasa beroperasi 24 jam dan penempatan pekerjanya dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk stesen keretapi, sekolah, balai polis, hospital dan pawagam.

"Ia berlaku ketika syarikat dari British, Eastern Mining Metal Company (Emmco) mengambil alih perlombongan bermula 1950. Ketika itu, Bukit Besi sangat terkenal setaraf Kuala Lumpur dan Singapura," katanya kepada Bernama sempena pembukaan hari pertama Muzium Bukit Besi di sini, semalam.

Menurut Wan Mohd Rosli, menyedari kehebatan di sebalik sejarah kegemilangan industri perlombongan bijih besi itu, beliau bersama 130 ahli persatuan berusaha mengumpul pelbagai maklumat dan bukti agar dapat dijadikan rujukan pada masa akan datang. 

Antara miniatur yang terdapat di Muzium Besi. Gambar: Bernama
Antara miniatur yang terdapat di Muzium Besi. Gambar: Bernama

Susulan itu, sebuah galeri perlombongan diwujudkan di pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Cawangan Bukit Besi pada 2002.

"Sejak itu, usaha berterusan dilaksanakan hinggalah terbinanya Muzium Bukit Besi yang membolehkan pengunjung melihat gambar penduduk ketika itu dan peralatan melombong, malah ada juga data penduduk asing yang dilahirkan di situ.

"Sebab itulah, kita menjangkakan muzium ini bukan sahaja akan dikunjungi rakyat negara ini tetapi juga waris warga asing yang mempunyai nilai sentimental tersendiri dengan Bukit Besi.

"Malah sehingga kini ramai waris dari Kanada, Australia dan Amerika Syarikat sering datang ke sini untuk mengimbau semula kenangan manis ayah, ibu, datuk dan nenek mereka yang pernah bekerja di sini," katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran mengumpulkan semua koleksi bersejarah di situ, beliau berkata pihaknya bukan sahaja perlu mencari semula bekas pekerja yang pernah tinggal di Bukit Besi tetapi juga berhubung dengan waris warga asing.

Gambar: Laman web Ketengah.gov.my
Gambar: Laman web Ketengah.gov.my

Tambahnya, sebahagian peralatan yang dipamerkan dibeli daripada pemilik asal dan waris, tetapi ada juga yang disumbangkan oleh waris warga asing dari Kanada dan Australia sebagai kenangan untuk diabadikan di muzium ini.

"Cuma, ada satu artifak yang masih kita usahakan iaitu keretapi lama yang digunakan di Bukit Besi. Agak sukar mahu mendapatkan keretapi yang sebenar untuk diletakkan di muzium ini. Ia adalah simbol kegemilangan dan kemajuan sektor pengangkutan darat hasil aktiviti perlombongan dari Bukit Besi ke pelabuhan di Dungun," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Rosli berkata pengunjung berpeluang masuk ke situ secara percuma sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan kelak. Pengunjung juga akan didedahkan dengan lebih terperinci tentang pemprosesan bijih besi bermula dari kerja-kerja perlombongan hinggalah bahan mentah itu dieksport ke luar negara.

Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui Bernama mengakui mereka teruja dapat melihat semula nostalgia kehidupan pada masa dahulu dan menghargai kesungguhan kerajaan yang komited membina muzium berkenaan.

Wan Mohamad Hazman Wan Ramli, 51 berkata muzium itu adalah bukti betapa tabahnya generasi terdahulu mengharungi liku-liku kehidupan meskipun terpaksa bekerja di bawah syarikat asing pascaperang dunia kedua ketika itu.

"Generasi sekarang terutama rakyat Terengganu perlu mengambil iktibar dan roh perjuangan nenek moyang mereka demi meneruskan kelangsungan hidup ke arah yang lebih baik," katanya.

Bagi Fatimah Tambon, 67 yang pernah menetap di situ ketika suaminya bekerja di Bukit Besi, kewujudan muzium itu dapat mengembalikan kenangan manisnya kerana ia adalah penempatan yang sangat moden dan menjadi kebanggaan ramai ketika itu.

"Ia adalah titik permulaan kehidupan yang lebih berkualiti kerana syarikat perlombongan sangat menjaga kebajikan kami semua.

"Peluang menjadi sebahagian komuniti Bukit Besi secara tidak langsung mengubah kehidupan kami sekeluarga kerana lebih berfikiran positif dan berjiwa besar hasil asimilasi bersama penduduk dari pelbagai negara," katanya. - Bernama

Isu Pada

Rizal Rasid – Tentang Kesihatan Mental

23 Oct 2021

Berita Berkaitan

1

TARA 6 bulan yang lalu

Tapak Arkeologi Gordion Sertai Senarai Warisan Dunia UNESCO

2

Jelajah 1 tahun yang lalu

Bayaran Masuk Tiket Muzium Budaya Borneo Mulai 1 Ogos

3

Filem & TV 1 tahun yang lalu

Kenapa Filem Mat Kilau Jadi Fenomena, Digilai?, Ini 8 Sebab Utamanya! 

4

Jelajah 1 tahun yang lalu

Muzium Bomba Malaysia RM3.5 Juta Akan Dibangunkan Di Melaka

Sorotan

1

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

2

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

3

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

4

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

5

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

6

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

7

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara