KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih bola sepak Malaysia, Datuk K Rajagobal selamat menerima dos vaksin COVID-19 di Brunei Darussalam.
Rajagobal yang berkelana ke Brunei setelah dipilih mengendali pasukan kebangsaan negara pengeluar minyak itu tahun lepas, memuat naik satu ciapan di akaun Twitternya hari ini.
“Saya baru sahaja menerima vaksin, terima kasih Kementerian Kesihatan Brunei,” tulis ciapannya.
Rajagobal dilantik menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Brunei pada Disember tahun lepas selepas mengikat kontrak dua tahun bersama Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).
Bekas pengendali Myanmar, Gerd Zeise dan bekas jurulatih Filipina, Micheal Weiss adalah antara pencabar bekas pengendali Harimau Malaya itu untuk jawatan pengendali Brunei.
Namun pengalaman dan pencapaian Rajagobal yang berjaya memimpin pasukan Malaysia menjuarai Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010 menjadi antara faktor NFABD memilih bekas jurulatih Selangor itu.
Rajagobal juga mendedahkan, isterinya turut menerima vaksin di Pusat Dagangan Antarabangsa dan Pameran Malaysia (MITEC) Sabtu lalu dan mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam ciapan yang sama.
“Semoga kita semua dilindungi dengan segera dan keadaan menjadi stabil.
“Jagalah diri dan kekal selamat semua,” beliau mengakhiri cipannya. - Getaran, 22 Jun 2021