LEEDS - Virgil van Dijk menawarkan sokongan buat bintang remaja Liverpool Harvey Elliott selepas pergelangan kaki pemain berusia 18 tahun itu terkehel.
Kecederaan itu menyelubungi kemenangan bergaya 3-0 Liverpool ke atas Leeds.
Pemain tengah Leeds Pascal Struijk diarahkan keluar padang kerana terjahannya kepada Elliott di pertengahan babak kedua.
Pada masa itu Liverpool sudah pun selesa di hadapan selepas Mohamed Salah menjaringkan gol Liga Perdana Inggeris ke-100nya dan gol minit ke-50 Fabinho.
Sadio Mane melengkapkan jaringan di masa kecederaan untuk Liverpool berkongsi puncak liga bersama Manchester United dan Chelsea dengan 10 mata daripada empat perlawanan.
Namun begitu, kecederaan Elliott bagai awan gelap yang menyelubungi persembahan positif buat Jurgen Kopp.
“Harvey berada dalam ingatan kami hari ini. Harap-harapnya dia akan pulih dengan pantas.
“Pengalaman saya semasa pulih dari kecederaan lutut saya baik-baik belaka. Semua pemain, staf semua orang di Liverpool para peminat memberi sokongan kepada saya dalam kesukaran.
“Saya yakin kami semua akan membantu dia sebaik yang boleh,” kata van Dijk. - AFP

