KUALA LUMPUR - Kerajaan MADANI membelanjakan antara RM40 bilion hingga RM50 bilion setiap tahun bagi mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga runcit tersebut tidak mencerminkan kos sebenar di pasaran.
Menurut beliau, kerajaan menanggung perbezaan tersebut bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga bahan api di peringkat global.
“RON95 sebenarnya bukan berharga RM1.99. Kerajaan yang membayar perbezaan harga tersebut,” katanya semasa berucap pada Program National Training Week (NTW) 2026 di Seberang Perai hari ini.
Jelas Perdana Menteri, harga bahan api antarabangsa dipengaruhi ketegangan geopolitik, termasuk konflik di Asia Barat serta kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan di Selat Hormuz, yang turut menyebabkan kos baja dan barangan import meningkat.

Beliau berkata, Malaysia masih bergantung kepada import bagi memenuhi baki permintaan, sekali gus menyebabkan harga domestik terdedah kepada turun naik pasaran global, walaupun Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membekalkan kira-kira separuh daripada keperluan bahan api negara.
“Malaysia terus menawarkan subsidi petrol dan diesel yang jauh lebih tinggi berbanding negara jiran, di mana pengguna perlu membayar harga bahan api yang jauh lebih mahal.
“Kerajaan turut memperuntukkan antara RM15 bilion hingga RM16 bilion setahun bagi program bantuan tunai di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut Anwar berkata, kerajaan memperuntukkan RM18 bilion setahun bagi pelaksanaan semakan gaji penjawat awam.
“Itu ialah semakan besar pertama dalam tempoh 12 tahun, yang memberikan kadar kenaikan lebih tinggi kepada penjawat awam berpendapatan rendah,” katanya.
Gesa Perdana Menteri, rakyat perlu menilai sendiri besarnya komitmen kewangan kerajaan sebelum menerima kritikan daripada pihak pembangkang.
“Pentadbiran Kerajaan MADANI , kekal komited melindungi kebajikan rakyat, melaksanakan reformasi ekonomi serta memperkukuh pengurusan fiskal negara,” katanya.
Malaysia memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar RON95 pada 30 September tahun lalu, bagi membolehkan warganegara yang layak membeli petrol bersubsidi mengikut kuota bulanan ditetapkan. - Getaran, 25 Julai 2026

