KUALA LUMPUR - Empat rumah teres di Taman Assamara di Taiping musnah dalam kebakaran malam tadi, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.23 malam.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati api sedang marak di rumah bernombor 23 sebelum merebak ke bahagian bumbung rumah berhampiran.
“Apabila pasukan bomba tiba di lokasi, kebakaran didapati sedang merebak dengan pantas di rumah bernombor 23 dan telah menjalar ke bahagian bumbung rumah berhampiran.
“Rumah bernombor 23 mengalami kerosakan paling teruk dengan kira-kira 85 peratus struktur musnah, manakala rumah bernombor 22 mengalami kerosakan sekitar 50 peratus.
“Dua lagi rumah masing-masing mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus dan 30 peratus, yang kebanyakannya melibatkan bahagian bumbung,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Operasi pemadaman api melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping serta Kamunting, dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Kuala Sepetang, Bagan Serai dan Kuala Kurau.
Sabarodzi berkata, seramai 31 anggota bomba dikerahkan ke lokasi bersama beberapa aset termasuk Compact Fire Rescue Tender (CFRT), Fire Rescue Tender (FRT), unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), kenderaan utiliti dan lori tangki air.
“Komander operasi menjalankan penilaian awal di lokasi sebelum mengaplikasikan konsep RECEO dan mengarahkan semua anggota memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang lengkap.
“Usaha pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran hos dengan bekalan air diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11 malam, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.17 tengah malam. - Getaran, 23 Julai 2026

