SERI KEMBANGAN - Beberapa individu ditahan polis selepas disyaki terbabit memukul seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dan bapanya di luar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung pergaduhan yang membabitkan beberapa pelajar dan bapa kepada salah seorang pelajar terbabit.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 3 Julai ketika mangsa berjalan menuju ke motosikalnya di luar kawasan sekolah.
“Mangsa kemudian dipanggil oleh beberapa pelajar dari sekolah yang sama sebelum dikepung dan dipukul oleh semua suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelajar berkenaan mengalami kecederaan pada bibir dan lutut selain lebam serta sakit di beberapa bahagian badan akibat dipukul.
Katanya, bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut diserang sehingga terjatuh.
“Akibat kejadian itu, bapa mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan kaki serta sakit di seluruh badan.
"Polis sedang bekerjasama rapat dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan kes ini dikendalikan secara profesional serta mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Muhamad Farid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, tular sebuah rakaman video tular di media sosial boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/reel/907982188377581
Rakaman tersebut menyaksikan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dan bapa kepada salah seorang pelajar.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Getaran, 24 Julai 2026
