KUALA LUMPUR - Tiga wanita, termasuk dua remaja, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik di Kuantan hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ di Jalan Pintasan Kuantan minggu lalu.
Tertuduh, Nur Liana Atirah Roslan, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wahida Zainal Abidin, manakala dua lagi tertuduh berusia 18 dan 19 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka yang bekerja sebagai pembantu kedai dan pekerja hotel didakwa menunggang motosikal Yamaha LC135 secara berbahaya dengan melakukan dua aksi ‘Superman’ kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 16 Julai lalu di Jalan Pintasan Kuantan, dari arah Terminal Sentral Kuantan (TSK) menuju Bukit Rangin.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan. Sabitan juga boleh menyebabkan mereka hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun dari tarikh sabitan, manakala lesen percubaan akan dibatalkan.
Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes melibatkan dua remaja terbabit bagi mendapatkan laporan sosial dan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pendakwaan menawarkan jaminan RM4,000 dan RM5,000 terhadap kedua-dua remaja itu sebelum jumlah tersebut dikurangkan kepada RM2,000 dan RM3,000 selepas rayuan dibuat.
Bagi Nur Liana Atirah yang mengaku tidak bersalah, mahkamah mengurangkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM3,000 serta menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan pelantikan peguam.
Kes dikendalikan oleh Inspektor Noraini Mohd Nor, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, sebuah rakaman video berdurasi kira-kira 48 saat yang tular di media sosial berhubung kejadian itu boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/reel/1351731480457450.
Menerusi rakaman tersebut, ia memaparkan beberapa penunggang dilihat meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang, menyerupai aksi ‘Superman’, ketika bergerak dalam kumpulan pada kelajuan tinggi di atas permukaan jalan yang basah.
Tindakan itu mengundang kecaman orang ramai kerana disifatkan mampu mengancam keselamatan penunggang sendiri serta pengguna jalan raya lain. - Getaran, 23 Julai 2026