KUALA LUMPUR - Kerajaan telah memulakan persediaan bagi Belanjawan 2027, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan, proses merangka pelan perbelanjaan negara bagi tahun hadapan sedang dijalankan menjelang pembentangannya di Parlimen Oktober ini.
“Kami sedang merangkanya sekarang. Kami baru sahaja memulakannya,” kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri Humane Economy Global Discourse 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Belanjawan 2027 dijangka menjadi ujian dasar penting kepada kerajaan dalam usaha mengimbangi pertumbuhan ekonomi, penyaluran bantuan bersasar serta pengukuhan kedudukan fiskal ketika negara berdepan peningkatan komitmen perbelanjaan dan ketidaktentuan ekonomi global.
Belanjawan itu menyusuli Belanjawan 2026 selaku belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan peruntukan RM470 bilion, yang memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi, perluasan perlindungan sosial serta sokongan terhadap agenda pembangunan negara.
Antara isu utama dijangka mempengaruhi Belanjawan 2027 ialah pengurusan subsidi, khususnya subsidi bahan api, susulan harga minyak mentah dunia yang masih terdedah kepada ketegangan geopolitik dan gangguan bekalan.
Ketidakstabilan di Asia Barat sejak kebelakangan ini, termasuk risiko terhadap laluan penghantaran tenaga utama seperti Selat Hormuz dan Laut Merah, telah menyumbang kepada turun naik pasaran minyak serta mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan perbelanjaan kerajaan bagi menampung subsidi bahan api.
Kenaikan harga minyak mentah berpotensi meningkatkan kos untuk mengekalkan harga bahan api bersubsidi, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada kewangan kerajaan ketika Putrajaya meneruskan usaha mengurangkan ketirisan serta memperkemaskan penyaluran bantuan kepada golongan yang benar-benar layak.
Kerajaan sebelum ini menegaskan, pemberian subsidi secara menyeluruh tidak lagi efisien kerana turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi.
Sehubungan itu, kerajaan sedang beralih kepada mekanisme subsidi bersasar bagi memastikan bantuan disalurkan kepada isi rumah yang memenuhi syarat.
Pelaksanaan subsidi diesel bersasar menerusi program BUDI MADANI dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) merupakan langkah penting dalam penyusunan semula subsidi, manakala pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar terus menjadi antara pertimbangan utama menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Bagaimanapun, pembaharuan subsidi kekal sebagai isu yang sensitif dari segi politik kerana kerajaan perlu mengimbangi keperluan memperkukuh kedudukan fiskal dengan kebimbangan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup, termasuk perbelanjaan makanan, pengangkutan dan keperluan harian.
Anwar sebelum ini berulang kali menegaskan, pembaharuan ekonomi perlu dilaksanakan secara berhati-hati bagi melindungi golongan rentan, di samping memperkukuh kedudukan kewangan negara untuk jangka panjang.
Selain isu subsidi, Belanjawan 2027 diramalkan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui, menambah baik infrastruktur, memperluas transformasi digital serta meningkatkan daya saing Malaysia.
Kerajaan juga dijangka meneruskan usaha mengurangkan defisit fiskal sambil mengekalkan sokongan terhadap pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan domestik serta pelaburan langsung asing yang berkualiti.
Dalam suasana ekonomi global yang semakin tidak menentu, Belanjawan 2027 dijangka memberi penekanan kepada usaha meningkatkan produktiviti, menaikkan pendapatan isi rumah serta memastikan pembangunan yang mampan.
Pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini akan menjadi belanjawan negara yang keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI dan dijangka menggariskan keutamaan ekonomi kerajaan menjelang kitaran Pilihan Raya Umum akan datang. - Getaran, 23 Julai 2026