KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas dipercayai digilis sebuah lori yang dipandu datuknya dalam kejadian di Kampung Bukit Kuang, Alor Setar pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati datuk mangsa yang berusia 61 tahun sedang mengundurkan lori dan gagal menyedari cucunya berada di belakang kenderaan berkenaan.
“Akibatnya, mangsa telah dilanggar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Beliau berkata, polis telah membuka dua kertas siasatan bagi menyiasat insiden berkenaan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut Adzli, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan punca dan keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian tragis tersebut. - Getaran, 23 Julai 2026
