KUALA LUMPUR - Sebelas lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Vinod’.
Tertuduh, iaitu G. Sanggeethan, A. Lawrence, M. Puvaneswaran, R. Shervinkumar, M. Surenthar, S. Sri Tharan, P. Saarvin, N. A. R. Viknesvaran, M. Naviedran, Muhammad Vinod Saktivel dan J. M. Kishaan, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Husna Dzulkifly.
Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu antara April 2024 hingga 27 Jun 2026 di kawasan parkir di hadapan deretan premis kedai di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.
Kesemua 11 tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Tapah.
Mahkamah menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri dan Chow Siang Kong.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, semua suspek yang merupakan warganegara Malaysia berusia antara 21 hingga 34 tahun itu ditahan dalam operasi khas pada 23 dan 24 Jun lalu.
Beliau berkata, operasi tersebut dilaksanakan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Selangor bagi melumpuhkan kumpulan jenayah terancang berkenaan.
Menurutnya, Geng Vinod diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan dianggotai 17 individu berusia antara 20 hingga 34 tahun, dengan kebanyakan mereka merupakan pesalah berulang.
Katanya lagi, kumpulan itu dipercayai aktif sejak 2023 dan dikaitkan dengan beberapa jenayah berat, termasuk rompakan berkumpulan, cubaan membunuh, rusuhan bersenjata, mendatangkan kecederaan menggunakan senjata serta melakukan khianat. - Getaran, 24 Julai 2026

