KUALA LUMPUR - Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Idris Jala, 67, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga, selepas menjalani pemeriksaan kesihatan susulan batuk berpanjangan.
Pendedahan itu dibuat Idris dalam siaran audio Game of Impossiblebersama anaknya, Leon Jala.
Menurut beliau, diagnosis tersebut diperoleh selepas menjalani pemeriksaan kesihatan secara rutin.
Dalam masa sama, Idris turut mengumumkan akan melepaskan peranannya sebagai hos siaran audio berkenaan, dan memaklumkan, tanggungjawab itu akan diambil alih oleh Leon.
Idris sebelum ini dikenali sebagai tokoh pemulihan korporat selepas mencatat kejayaan besar ketika menerajui Malaysia Airlines (MAS) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dari 2005 hingga 2009.
Di bawah kepimpinannya, MAS berjaya beralih daripada kerugian RM1.3 bilion pada 2005 kepada keuntungan RM852 juta dalam tempoh hanya dua tahun.
Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) sehingga 2015 bagi menerajui Program Transformasi Nasional.
Idris juga mencipta sejarah sebagai individu pertama daripada kaum Orang Ulu yang dilantik sebagai menteri persekutuan.
Pada 2014, Bloomberg menyenaraikan beliau antara 10 pembuat dasar paling berpengaruh di dunia.
Kini, Idris merupakan Presiden dan Pengerusi firma perunding swasta, Pemandu Associates Sdn Bhd. - Getaran, 24 Julai 2026

