KUALA LUMPUR - Pemilik akaun Instagram ‘safieyillias94’ ditahan, berhubung dakwaan berkomunikasi secara lucah dan melakukan perbuatan amang seksual terhadap kanak-kanak bawah umur, petang semalam.
Mengesahkan penahanan itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Zaid Hassan berkata, pemuda terbabit direman selama tiga hari, sehingga 13 Jun ini.
“Beri masa kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya, ringkas.
Instafamous, Safiey Ilias diburu polis gara-gara berkelakuan lucah di hadapan dua remaja termasuk menggoyangkan buah dada palsunya dalam satu sesi sidang video melalui aplikasi media sosial, Instagram.
Siasatan terhadap Safiey yang juga usahawan kosmetik, dibuat susulan aduan seorang pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar di Balai Polis Bandar Baru Bangi semalam.
Safiey yang menggunakan akaun Instgram, ‘safieyilias94’, turut mempertontonkan cara menghisap vape atau rokok elektronik kepada remaja terbabit ketika sesi sidang video tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1)Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. - Getaran, 11 Jun 2021

