KUALA LUMPUR - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan oleh Pasukan Pendudukan Israel (IOF) ke atas beberapa kemudahan kesihatan di Semenanjung Gaza hingga mengorbankan ratusan mangsa.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, tindakan Israel yang menyasarkan kemudahan kesihatan dan penting itu adalah jelas melanggar Konvensyen Geneva 1949.
"Serangan berterusan membuktikan usaha regim Israel untuk menghapuskan rakyat Palestin.
"Malaysia juga mengecam serangan terkini ke atas sebuah kemudahan perubatan yang dikendalikan oleh Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) dan Hospital Indonesia di Gaza.
“Tindakan keji ini oleh IOF harus dihentikan serta-merta. Jumlah kematian yang semakin meningkat dan penderitaan penduduk Gaza yang sangat teruk menuntut tindak balas kukuh dengan segera," kata kenyataan itu yang dikeluarkan malam tadi.
Selain itu, kenyataan berkenaan turut memaklumkan Malaysia menyahut seruan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya usaha kolektif dilaksanakan bagi mengakhiri konflik dan malapetaka kemanusiaan di Gaza.
"Malaysia juga mengulangi seruannya kepada masyarakat antarabangsa supaya mempertanggungjawabkan rejim Zionis atas tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan menuntut Israel menghormati kemudahan penjagaan kesihatan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Pada masa sama, menurut kenyataan itu, Malaysia terus berpegang teguh kepada pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak memiliki negara sendiri yang bebas dan berdaulat.
"Rakyat Palestin berhak memiliki negara sendiri yang bebas dan berdaulat berdasarkan persempadanan yang ditetapkan sebelum tahun 1967 dengan Baitulmuqadis Timur sebagai ibu negaranya,” kata Wisma Putra. - Getaran, 23 November 2023
