PETALING JAYA - Sejurus Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Perdana Menteri Ke-10, suasana ‘meriah’ memenuhi pejabat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu di Jalan Gasing di sini, apabila pemimpin dan penyokong parti itu melaungkan reformasi berulang kali.
Laungan slogan keramat dibawa Anwar sejak lebih 20 tahun lalu itu, sebagai meraikan kejayaan besar dicapai parti berkenaan.
Beberapa pemimpin PKR yang berada di situ sejak pagi tadi, berpelukan dan mengalirkan air mata selepas mendengar pengumuman gembira paling dinantikan sejak Sabtu lalu.
Antaranya adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli; Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari dan mantan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Terdahulu, Istana Negara menerusi kenyataan selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.
Presiden PKR itu dijadual mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada jam 5 petang ini.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, memberitahu bahawa pihaknya akan memaklumkan pergerakan Anwar dari semasa ke semasa kepada media.
Bagaimanapun, difahamkan, ketika ini, Anwar berada di kediamannya di Sungai Long, Kajang. - Getaran, 24 November 2022

