KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi menegaskan sokongan terhadap cadangan larangan menyeluruh produk vape di negara ini, susulan pengesanan dadah sintetik baharu dikenali sebagai “Piu Piu” yang dicampur ke dalam cecair rokok elektronik.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dadah berkenaan mengandungi campuran fentanyl dan bahan kimia psikoaktif yang mampu menyebabkan kesan khayal melampau sehingga menjadikan pengguna berada dalam keadaan seakan-akan “zombi”.
Menurut beliau, peranti vape kini semakin disalahguna oleh sindiket pengedaran dadah sebagai medium untuk menyembunyikan dan mengedar bahan terlarang, sekali gus mengubah fungsi asal produk tersebut yang dipasarkan sebagai alternatif kepada rokok konvensional.
“Isu utama ketika ini bukan soal vape sebagai peluang perniagaan kepada mana-mana pihak. Isu sebenar ialah penyalahgunaan peranti itu melalui campuran dadah baharu atau New Psychoactive Substances (NPS) yang amat membimbangkan.
“Vape kini menjadi kebanggaan dalam kalangan golongan muda, justeru kita perlu membendung masalah ini lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program lawatan hospital sempena Sambutan Hari Polis Ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM), hari ini.
Ayob Khan berkata, banyak negara luar mengambil langkah mengharamkan penggunaan vape dan Malaysia perlu mempunyai iltizam politik yang sama bagi membanteras masalah tersebut.
Bagaimanapun, beliau mengakui, PDRM tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengharamkan produk vape kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus mempergiatkan pemantauan serta operasi penguatkuasaan berskala besar bagi mengekang penularan ancaman dadah baharu tersebut.
"Pemantauan dan operasi penguatkuasaan turut dijalankan terhadap premis-premis yang menjual produk vape bagi membendung penyebaran dadah baharu ini,” katanya.
Gesaan terbaharu itu dibuat selepas JSJN menahan enam lelaki termasuk seorang pembekal produk vape yang disyaki mengandungi bahan narkotik dalam satu operasi baru-baru ini.
Penahanan tersebut susulan penularan beberapa video di media sosial yang memaparkan individu berada dalam keadaan khayal melampau selepas menggunakan vape, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan kewujudan dadah sintetik dalam produk berkenaan.
Sebelum ini, Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihak berkuasa memandang serius penyalahgunaan vape kerana bimbang ia menjadi medium yang menormalisasikan budaya penyalahgunaan dadah serta gaya hidup tidak sihat dalam masyarakat.
Beliau turut memberi amaran, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat produk vape yang dicampurkan dengan bahan kimia berbahaya atau dadah sintetik yang boleh mengancam keselamatan pengguna serta keselamatan awam secara keseluruhan. - Getaran, 11 Jun 2026

