KAPIT - Seorang penjawat awam ditangkap selepas didakwa merakam gambar seorang gadis sedang membuang air kecil di sebuah tandas, di sini, malam tadi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, lelaki berusia 30an berkenaan ditangkap susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa berusia 19 tahun itu pada jam 10.40 malam.
Menurutnya, kejadian itu dilaporkan berlaku di tandas sebuah kedai makan, dipercayai tempat mangsa bekerja pada jam 9.30 malam.
“Kejadian berlaku semasa mangsa sedang membuang air kecil di sebuah kedai makan di Kapit.
“Susulan itu, suspek telah ditangkap dan telefon bimbitnya juga dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Getaran hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. - Getaran, 15 September 2021

