Cukup seminggu berhari-raya, pelbagai juadah raya telah dinikmati. Dari ketupat, lemang, rendang nasi impit, sayur lodeh, semuanya tidak terkecuali. Jadi, tidak mustahillah kalau ada di antara kita yang sudah mula berasa jemu.
Pulang ke rumah sendiri, pasti idamkan menu yang sedikit berbeza, tetapi tetap menambat selera. Tak perlu berlebihan, tetapi biarlah mewah dengan rasa. Tak perlu penuh semeja, tapi cukuplah menggembirakan deria rasa.
Cubalah dua resipi yang disediakan oleh chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob ini. Pasti tidak mengecewakan! Boleh disediakan untuk makan tengahari, mahupun makan malam. Kalau makan dengan nasi putih yang panas-panas, pasti bertambah-tambah dibuatnya.
Kalau tak mahu bersama nasi, pasta juga tidak kurang nikmatnya. Sedap hingga menjilat jari.
Ayam Percik Limau Purut Madu

Bahan-bahan:
2 peha ayam
10 biji bawang kecil
5 ulas bawang putih
2 inci halia
1 sudu besar cili giling
1 batang serai
2 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar gula melaka
Kuah:
1 cawan santan cair
1 cawan ‘cooking cream’
15 ulas bawang merah
2 sudu besar cili giling
2 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh serbuk cili
3 inci halia
1 batang serai
1 limau nipis
1 sudu besar gula melaka
1 sudu besar udang geragau
4 lembar daun limau purut
1 sudu teh madu
Cara penyediaan:
1) Kisar bahan- bahan untuk perapan ayam, Perap ayam selama 30 minit. Kemudian, panggang atau bakar ayam di dalam ketuhar.
2) Sementara ayam dibakar teruskan membuat kuah percik, kisar bawang merah, halia, masukkan air limau nipis serta serai bersama sedikit air.
3) Masukkan ke dalam pot atau kuali, masak bersama serbuk kunyit, udang geragau dan cili giling. Kemudian masukkan santan dan ‘cooking cream’ serta daun limau purut.
4) Setelah masak masukkan gula melaka dan madu. Sedia dihidangkan.
Daging Salai Masak Lemak Cili Api Dengan Belimbing Buluh

Bahan-bahan:
300 gram daging batang pinang
15 biji cili api
4 biji belimbing buluh
2 biji bawang besar
7 ulas bawang putih
2 batang serai
2 inci kunyit hidup
2 inci halia
3 keping asam jawa
250 ml santan
1 sudu kecil serbuk kunyit
100 ml air
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Cara membuat daging salai:
1) Sapukan daging batang pinang dengan serbuk kunyit dan sedikit garam dan panaskan kuali anti-lekat tanpa menggunakan minyak.
2) Apabila kuali panas, masukkan daging dan biarkan ia bertukar keperang-perangan keseluruhan. Ketepikan seketika untuk menyediakan kuah masak lemak cili api.
Cara membuat kuah:
1) Kisar cili api, bawang besar, bawang putih, halia, serai dan kunyit hidup dengan menggunakan mesin pengisar.
2) Kemudian tuangkan ke dalam air dan biarkan mendidih.
3) Masukkan daging salai yang telah dihiris dan tambahkan serbuk kunyit serta kepingan asam jawa.
4) Masukkan santan dan akhir sekali masukkan belimbing buluh. Kacau sehingga masak dan perisakan masakan. Sedia dihidangkan. - Getaran, 9 Mei 2022
Gambar: SukaSucre