Berita Terkini

5 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 6 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Pesanan Fazley Buat Rakyat Malaysia

TARA Dikemaskini 7 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 02 Sep 2023 10:19AM

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Penghias muka hadapan TARA minggu ini bukanlah calang-calang orangnya. Bermula sebagai seorang penyanyi, kini jurnal kariernya semakin hebat. Melihat kepada rutin hariannya, membuatkan kita tertanya-tanya bagaimana pemilik nama sebenar Ahmad Fadzli bin Yaakob ini mempunyai kekuatan untuk terus mengukir kejayaan.

Secara peribadi, saya melihat lelaki yang lebih dikenali sebagai Fazley Yaakob ini seorang yang cukup berwibawa dan sangat komited dalam segala hal yang dilakukan. Beliau bukanlah orang yang melakukan kerja separuh jalan, apatah lagi sekadar mencuba. Apabila hatinya telah tekad, segalanya haruslah sempurna.

Biarpun sudah punya pangkat dan nama, Fazley tidak pernah mendongak ke langit. Beliau mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Satu lagi kelebihan lelaki ini ialah beliau sangat bijak mengawal situasi apabila terpalit dengan sebarang kontroversi. Melatah tidak sama sekali, sebaliknya kekal tenang dan akhirnya menang bergaya.

Dek itulah, sempena meraikan semangat kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal tiba dalam sedikit masa lagi, TARA mahu beliau berkongsi cerita tentang hal yang paling dicintai oleh rakyat Malaysia itu makanan. Sebagai penyandang gelaran The Singing Chef, beliau layak melontar kata, berbagi rasa.

Ketika mengulas tentang semangat perpaduan rakyat Malaysia yang sangat utuh menyerlah apabila berkait dengan makanan, beliau memberitahu dia senang dan gembira dengan situasi ini, namun ada satu perkara yang membuatkan dia berasa jengkel.

“Memang benar apabila kita bercakap tentang makanan, terutama makanan yang melambangkan budaya dan warisan Malaysia, kita sangat bersatu hati. Kita akan bagi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada mereka yang menjual hidangan kegemaran ini. Namun, ada suatu perkara yang membuatkan saya berasa jengkel dan berharap ada kuasa untuk mengubahnya. Saya tidak suka dengan perangai pengotor rakyat Malaysia selepas makan. 

"Maksud saya ialah, tidak ‘pandai’ hendak kemaskan meja selepas makan. Kalau masih ingat, saya pernah bersihkan muntah anak di sebuah restoran. Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk atau bangga diri, tetapi saya mahu sampaikan mesej kepada orang ramai supaya sama-sama menjaga kebersihan. 

“Saya mahu berpesan, selepas makan tolonglah bersihkan walaupun kedai itu punya pekerja. Tidak salah memudahkan urusan orang lain. Kalau ke restoran makanan segera, buanglah semua sampah di tempat yang disediakan. Ingat satu perkara, kalau kita mahu makanan kita dihidangkan di persekitaran yang bersih dan selamat, kita juga perlu sama-sama menjaga kebersihan,” ulas Fazley.

Kongsi Fazley lagi, sebagai individu yang terlibat dalam dunia kulinari, beliau bercita-cita untuk mengadakan kempen kebersihan selepas makan bagi menggalakkan rakyat Malaysia kekal dalam mood bersih setelah menjamu selera. 

“Saya rasa nak buat kempen kebersihan selepas makan. Kemas meja selepas makan atau buang sampah selepas makan. Aspirasi saya adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk kekal dalam mood bersih selepas makan. Satu lagi saya nak buat kempen atau peraduan mengambil gambar meja makan yang paling cantik dan bersih selepas makan di platform media sosial. Pemenang akan saya belanja makan di restoran saya selama dua minggu,” ujar Fazley. 

Tak Nak Obes, Ubah Cara Penyediaan Makanan

Bersatu padu kerana makanan itu memang bagus dan menggembirakan, tetapi situasi ini turut mengundang masalah yang agak membimbang di mana Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kadar obesiti negara ini adalah tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 15.6 peratus.

Mengulas tentang situasi ini, Fazley menasihatkan agar rakyat Malaysia cuba menerapkan pemakanan yang sihat dalam diet harian. Pemakanan sihat bukanlah bererti ia tidak sedap dan terhad kepada teknik masakan tertentu, tetapi skopnya lebih luas dan tidak membebankan poket.

“Saya sebenarnya adalah perunding atau penasihat pemakanan kepada 18 buah hospital swasta untuk menyediakan makanan yang lebih cantik persembahannya, lebih sedap dan sihat. Sama seperti kebanyakan orang lain, saya pun sebenarnya kurang gemar kepada makanan sihat. Makanan sihat yang saya maksudkan di sini ialah makanan yang tiada rasa. Makanan Malaysia kan penuh perisa, jadi susahlah nak tinggalkan makanan-makanan kegemaran ini.

“Kenapa makanan sihat perlu rebus atau panggang sahaja? Mungkin rakyat Malaysia boleh jadikan cara saya ini sebagai panduan untuk menikmati makanan sihat dalam diet harian dan lama-kelamaan masalah obesiti itu boleh diatasi dengan lebih baik.

“Jadi apa yang saya buat ialah saya pastikan masakan itu menjadi lebih sihat, bukan makanan kesihatan. Contohnya kalau ayam goreng sebelum ini digoreng dengan menggunakan 500 ml minyak, dan digoreng tenggelam (deep fry), saya ubah cara menggorengnya dengan kurangkan minyak dan balik-balikkannya untuk masak sekata,” ujar Fazley yang telah beberapa kali mengikuti seminar pemakanan yang diadakan di Amsterdam, Belanda.

Pesannya lagi, selain tukar olahan atau cara memasak yang lebih sihat, rakyat Malaysia juga perlu berhati-hati dengan kuantiti. Contohnya nasi lemak memang biasa sudah diakui sebagai menu sarapan yang lengkap, tetapi ia menjadi tidak sihat kerana ramai yang gemar menambahnya dengan berbagai-bagai jenis lauk. 

“Kalau tukar cara penyediaan, tetapi tidak mengawal kuantiti juga tidak membantu. Jadi kenalah berhati-hati dalam perkara ini. Bagi saya untuk mendidik orang menyukai makanan yang lebih sihat, kita perlu memberi idea bahawa sebenarnya tidak susah pun dan makanan sihat juga tidak semestinya mahal.”

Inisiatif Yang Bagus, Tapi Jangan Memaksa

Alang-alang menyentuh isu mahal dan murah dalam penyediaan makanan, Fazley juga tidak terlepas daripada diminta mengulas tentang masalah yang membelenggu rakyat Malaysia masa kini di mana kos sara hidup semakin meningkat sehingga pihak kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah. 

Secara peribadi, beliau memuji inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan sedia ada. Namun, pada masa sama, dia juga mengakui sebenarnya tidak mudah untuk pengusaha makanan untuk menyediakan set makanan pada harga yang ditetapkan, RM5.00

“Menu rahmah diperkenalkan ketika kita menghadapi kesukaran, dan n saya tahu ada pengusaha F&B masih nak terus. Bagi saya itu merupakan satu pilihan. Sebagai pengusaha makanan dan minuman, saya tahu menu ini bukanlah satu yang mudah kerana kos barangan yang semakin meningkat. 

“Sebab itu tak semua pengusaha boleh buat Menu Rahmah ini melainkan mereka bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan. Bukan untuk kaut keuntungan. Di Suka Sucre sendiri, kami buat Menu Rahmah untuk acara-acara tertentu sahaja.

“Halatuju Menu Rahmah ini sebenarnya bagus sebab ia membantu mereka yang mengikat perut. Tetapi ia tidak boleh diteruskan atas dasar untuk berpolitik sahaja atau propaganda. Saya tidak bersetuju apabila ada pihak yang memaksa pengusaha makanan menjual Menu Rahmah apabila mereka ingin terlibat dalam acara-acara tertentu. Kalau tidak, tak boleh sertai acara tersebut. Janganlah menghimpit pengusaha makanan ini kerana ia boleh menyebabkan perniagaan mereka mengalami kerugian sehingga akhirnya tidak mampu membayar gaji pekerja,” ulas Fazley panjang lebar.  

Misi Mencari 10 Gerai Tidak Popular

Sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa ingin memberi kepada komuniti, sempena meraikan Hari Malaysia tahun ini, Fazley rupanya sudah merancang sesuatu yang istimewa. Walau sibuk dengan rutin harian yang padat, beliau kini dalam misi mencari 10 gerai tidak popular untuk dipromosikan di akaun media sosialnya. 

“Suatu ketika dahulu saya suka singgah ke gerai yang saya perhatikan kurang dapat sambutan. Saya akan cuba makanan mereka, ambil video dan kongsikan ke akaun media sosial saya. Maklum balas yang saya dapat memang positif dan ramai yang minta saya teruskan.

“Saya memang kagum dengan peniaga-peniaga gerai ini sebab mereka ini sangat gigih. Saya sendiri sebenarnya lebih suka makan di gerai berbanding restoran. Sempena Hari Malaysia kali ini, saya merancang untuk buat content - melawat 10 gerai yang tidak popular.

“Saya mahu beri publisiti kepada gerai-gerai ini kerana percaya ada banyak gerai yang tak popular tetapi makanan yang dijual sedap. Kriteria yang saya perlukan ialah gerai ni mesti berusia lebih 3 bulan, bersih, menggunakan bahan-bahan halal dan mesti ada akaun media sosial,” kongsi beliau.  

Sebelum mengakhiri bicara, penyandang gelaran The Singing Chef ini sempat berpesan agar rakyat Malaysia sentiasa bersatu dalam apa juga keadaan. Baginya, jika makanan itu boleh menjadi tanda penyatuan rakyat Malaysia, sikap kita dalam media sosial juga perlu menunjukkan penyatuan.

“Saya kalau boleh mahu nasihatkan anak-anak muda yang gemar menggunakan media sosial supaya jangan sesekali meletakan ego kita di atas, dan letakkan otak di lutut apabila membuat perkongsian di media sosial. Kita memang bebas bersuara, tetapi janganlah kata-kata kita itu boleh membangkitkan isu perkauman dan keagamaan.  Gunakan platform itu dengan bijak, jangan jadikan ia medan menanam kanser untuk membunuh semangat perpaduan!”. – Getaran, 2 September 2023.

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Datuk Fazley Yaakob @fazleyyaakob

Pengarang Urusan: M. Zulkifli Abd Jalil 

Teks : Rahayu Mat Nah

Rekaletak : Jusmiyati Jufri

Penata Gaya : Hannef Esq @hnfesq

Jurusolek & Rambut:  Chomel @chomel_81

Jurufoto : Salwa Farhana Ismail

Tajaan Busana : RLMENSWEAR @rlmenswear (Biru) & Vestio Bespoke @vestiobespoke (Merah)

Tajaan lokasi : lyf Raja Chulan Kuala Lumpur @lyf.rajachulan

Isu Pada

Pesanan Fazley Buat Rakyat Malaysia 9

09 Sep 2023

Berita Berkaitan

1

TARA 3 bulan yang lalu

Di Mana Mahu Dapatkan Pakaian Untuk Percutian Musim Sejuk? 

2

TARA 3 bulan yang lalu

5 Berita Hiburan Paling Panas Dan Jadi Bualan Netizen Sepanjang 2023

3

TARA 3 bulan yang lalu

5 Filem, Siri Menarik Di Netflix Untuk Tontonan Cuti Tahun Baharu

4

TARA 3 bulan yang lalu

6 Saluran Percuma Astro Sempena Tahun Baharu

Sorotan

1

Letupan Bom Sungai Golok: PDRM Tingkat Kawalan Keselamatan Sempadan Malaysia – Thailand

2

Piala Thomas: Malaysia Benam Algeria 5-0 Untuk Tempah Slot Suku Akhir

3

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

4

Pakar Ekonomi Sabut Baik Penubuhan Akaun Ketiga KWSP

5

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

6

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City