web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 5 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 7 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Lemang Power Tong Dram Tambat Hati Pelanggan

Sekiranya dahulu, lemang hanya boleh dibeli menjelang musim perayaan, namun peredaran masa menyaksikan juadah ini boleh dinikmati tanpa menunggu hari raya.

Selera Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Jun 2023 8:32AM

Lemang unik Lemang Power - Gambar Facebook Lemang Power Taman Midah

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Lemang yang enak dimakan dengan rendang atau serunding, antara juadah tradisional yang cukup sinonim dengan hari raya termasuk Hari Raya Aidiladha. 

Tiga bahan asas digunakan untuk menghasilkan lemang iaitu beras pulut, santan kelapa dan garam, kemudiannya dicampur sehingga sebati sebelum dimasukkan ke dalam buluh yang bersih dengan daun pisang digulung ke dalamnya.

Lazimnya, buluh yang berisi bahan campuran tadi akan dibakar dengan cara menyusunnya separuh condong di tepi bara kayu api yang perlu sentiasa dikawal, selama lima hingga enam jam. 

Ketika proses membakar inilah kepakaran serta kesabaran pembuatnya diperlukan untuk memastikan lemang yang dibakar masak dengan sempurna tanpa buluh menjadi hangus.

 

CARA HASILKAN LEMANG DIPELBAGAI

Sekiranya dahulu, lemang hanya boleh dibeli menjelang musim perayaan, namun peredaran masa menyaksikan juadah ini boleh dinikmati tanpa menunggu hari raya.

Ini berikutan proses memasak lemang menjadi lebih pelbagai termasuk kaedah mengukus dan antara yang terkini serta unik ialah memasak dan membakarnya dengan cara memasukkan buluh yang berisi bahan campuran lemang ke dalam tong dram.

Salah seorang pengusaha lemang menggunakan kaedah ini ialah pasangan suami isteri Rabiatul Adawiyah Mokhtar, 31, dan suaminya Md Fariz Abdul Hamid, 39 yang menjalankan perniagaan Lemang Power di Taman Midah, Cheras.

Pasangan ini memberitahu Bernama, mereka mendapat idea untuk membakar lemang menggunakan tong dram besi akibat kekangan yang dihadapi sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan sekali gus menyukarkan mereka untuk mendapatkan bekalan kayu api. 

“Sebelum ini, kami membuat lemang menggunakan kaedah lama iaitu menggunakan kayu api sejak tahun 2008. 

"Lemang ini asalnya diusahakan oleh suami saya di Bandar Sri Permaisuri sejak 15 tahun lepas namun disebabkan PKP akibat pandemik COVID-19, kami beralih kepada penggunaan tong dram dan berniaga di Jalan Midah 8, Taman Midah, Cheras, " kata Rabiatul Adawiyah

Suami beliau serta beberapa orang rakan meneliti kaedah penggunaan tong dram untuk memasak lemang yang digunakan oleh peniaga lemang lain, kemudiannya menghasilkan tong dram khas untuk kegunaan mereka.

“Setelah beberapa percubaan dilakukan, akhirnya kami dapat menghasilkan lemang yang berkualiti dan enak dengan menggunakan teknik membakar lemang di dalam tong dram,” katanya menambah, lemang tong dram mula dikomersialkan pada tahun 2021.

 

LEBIH MUDAH MEMBAKAR DALAM TONG DRAM

Memasak lemang menggunakan tong dram ternyata lebih mudah berbanding menggunakan kayu api di samping dapat mengekalkan bau asli lemang. 

"Selain kualiti yang dihasilkan setanding dengan aroma asli kayu api, memasak lemang melalui kaedah itu lebih bersih kerana terhindar daripada habuk dan pencemaran udara luar. 

"Memandangkan penghasilan lemang ini di kawasan bandar, pembakaran terbuka dapat dielakkan dan dalam masa yang sama pelanggan masih dapat menikmati kualiti rasa yang serupa. Selain faktor udara, membakar lemang dalam tong dram ini juga lebih menjimatkan ruang dan kos," katanya.

Rabiatul Adawiyah menambah, keistimewaan lemang yang dimasak di dalam tong drum terbit dari tong itu sendiri melalui haba yang dihasilkan sekali gus memastikan kesemua lemang masak dalam masa yang serentak. 

"Bahan-bahan dan teknik bancuhan lemang tetap sama seperti memasak menggunakan kayu api cuma proses pembakaran hanya memerlukan tong gas dan dapur masak. Untuk menghasilkan lemang dengan cara begini, proses memasak lemang mengambil masa kira-kira satu hingga tiga jam sahaja.

"Dari segi rasa, isi lemang yang dimasak di dalam tong dram ini lebih lembut dan tidak berkerak," katanya yang memiliki empat buah tong dram yang direka khas yang boleh menghasilkan 120 batang lemang dalam satu masa.

Setiap tong dram mempunyai ukuran tinggi 0.9 meter dengan garis pusat 0.6 meter dan boleh memuatkan sebanyak 30 batang lemang. Setiap proses membakar melibatkan empat tong dram.

 

SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Usaha pasangan suami isteri ini ternyata membuahkan hasil apabila lemang yang diusahakan dengan kaedah terbaharu itu berjaya memikat hati pelanggan.

Buktinya, menjelang hari perayaan jualan lemang boleh mencecah sehingga 1,000 batang sehari.

"Jika hari biasa, lemang dijual mengikut tempahan diterima. Syukur jualan sangat memberangsangkan sepanjang bulan Ramadan serta Syawal. Begitu juga apabila tibanya hari raya Aidiladha kami turut menyediakan lemang yang sememangnya dinantikan pelanggan," katanya.

Sebatang lemang dijual mengikut saiz iaitu dari RM13 hingga RM25, selain lemang yang siap dipotong beserta set rendang ayam dan daging turut dijual.

“Sambutan daripada pelanggan sangat menggalakkan dan rata-rata mereka menyukai lemang tong dram ini. 

"Harapan kami agar lemang tong dram ini membawa nostalgia tradisi merentas zaman, diturunkan kepada generasi muda agar lebih ramai tahu cara memasak lemang dengan lebih mudah. Teori yang sama cuma teknik memasak yang berbeza.

"Kami berharap pasaran lemang ini berkembang maju seiring dengan peredaran masa. Sekiranya ingin merasai keunikan lemang tong dram ini boleh hubungi saya melalui Facebook Lemang Power Taman Midah atau Instagram @lemangpower.branch," kata Rabiatul Adawiyah sambil mengakui cabaran utama adalah untuk memastikan lemang yang dihasilkan memenuhi citarasa pelanggan dari segenap lapisan masyarakat. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Filem & TV 3 tahun yang lalu

Nora Danish Gemar Menikmati Lemang Bersama Rendang Daging Wagyu Yang Dimasak Suaminya 

2

Semasa 3 tahun yang lalu

Peniaga Ditahan Disyaki Pukul Warga Emas Dakwa Lemang Dibeli Mentah

3

Video & Galeri 3 tahun yang lalu

Mengenali Keistimewaan Lemang Daun Lerek Greenwood

4

Video & Galeri 3 tahun yang lalu

Tradisi Kejut Sahur Unik Di Flat Taman Setia Balakong

Sorotan

1

Perlombongan Emas Haram: Kelantan Rampas 45 Jentera Pengorek

2

Harga RON97, RON95 Tanpa Subsidi Dan Diesel Turun Bagi Tempoh 4 Hingga 10 Jun

3

Pemandu GTI Didakwa Sebabkan Kematian Remaja

4

Pertemuan Aminuddin-Tuanku Muhriz Cetus Teka Teki Tarikh PRN Negeri Sembilan

5

Kereta Langgar Paip Air, 5 Sekeluarga Termasuk Bayi Maut

6

Nahas Simpang Renggam: Reman Pemandu Punca Kejadian Dilanjut Sehari Lagi