.Dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan pengakuan berani seorang bintang besar. Siapa sangka, aktres jelita yang namanya sentiasa menjadi bualan ramai ini akhirnya memilih untuk melangkah pergi, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Ketika ditemui oleh pihak media pada Pertunjukan Fesyen Jakel Raya 2026 yang berlangsung semalam, Fazura mengesahkan dia tidak lagi akan muncul dalam mana-mana drama terbitan stesen televisyen tempatan.
Bukan keputusan kecil, bukan juga dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya, ia lahir daripada pertimbangan mendalam seorang wanita yang kini melihat hidup dari sudut berbeza.
Menurut Fazura, komitmen penggambaran drama yang memakan masa panjang sudah tidak seiring dengan keutamaan hidupnya hari ini.
“Saya bercakap dengan beralas,” katanya, seolah-olah memberi isyarat bahawa pintu tidak ditutup sepenuhnya, tetapi buat masa sekarang, inilah pendiriannya.
Menariknya, pelakon berusia 43 tahun itu masih membuka ruang untuk dunia perfileman, baik di Malaysia mahupun Indonesia, selagi projek itu sesuai dan tidak menuntut pengorbanan masa yang keterlaluan.
"Dari segi filem pula, saya masih terbuka bergantung kepada projek. Fokus saya kini lebih kepada filem, sama ada di Malaysia dan Indonesia," katanya.
Namun di sebalik keputusan besar itu, terselit satu sebab yang membuatkannya nekad. Fazura mengakui kini seluruh dunianya berpusat pada si kecil kesayangan, Nur Fatima Aisya.
Anak perempuannya yang berusia enam tahun itu sangat bergantung emosi kepadanya dan sukar berpisah walaupun untuk tempoh singkat.
“Dia tunggu saya balik untuk tidur. Kalau saya tiada lama, dia akan cari,” luah Fazura jujur, membuka sisi keibuan yang jarang dipertontonkan kepada umum.
Walaupun secara rasmi mengumumkan pengunduran diri daripada drama TV, Fazura enggan mendabik dada. Katanya, hidup dan kerjaya tetap di bawah aturan Yang Maha Esa. Hari ini dia melangkah ke belakang, esok siapa tahu takdir membawa cerita berbeza.
Dalam masa sama, nama Fazura masih tidak sunyi daripada dunia seni. Bidang nyanyian terus menjadi ruang ekspresi, dengan beberapa perancangan bersama Universal Music Malaysia sedang disusun. Malah, dia kini giat mengikuti kelas vokal demi memperbaiki mutu nyanyian, walaupun mengakui lakonan tetap cinta utamanya.
Untuk rekod, kemunculan terakhir Fazura di layar kaca adalah menerusi drama Lelaki Itu di Slot Samarinda TV3 serta Andartu Kosmopolitan di platform Viu pada tahun 2024. Drama mungkin ditinggalkan, tetapi aura Fazura? Jelas masih belum pudar. - Getaran, 23 Januari 2026