Seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan Gerak Khas 2.0 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memasukkan tiga jenis dadah berbahaya ke dalam badannya, Selasa lalu.
Tertuduh, Shanorbiah Shamsir Alam, 40, atau lebih dikenali sebagai Tisha Shamsir, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamine ke dalam badannya berdasarkan keputusan ujian air kencing.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 7.30 pagi, 7 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman di bawah seksyen yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurainna Maryam Norazman, menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Azhar Nik Adib, yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya telah berpisah dengan suami serta menanggung ibu bapanya yang telah lanjut usia.
“Tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.
“Sebelum ini, tertuduh telah diberikan jaminan polis dan hadir sendiri ke mahkamah hari ini bagi menghadapi pertuduhan. Oleh itu, kami memohon jumlah jaminan pada kadar minimum,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Khairunnisak membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dan menetapkan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan pelakon berkenaan ditahan bersama beberapa individu lain dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di ibu negara. - Getaran, 10 Julai 2026