Pelakon filem, televisyen dan teater, Helen McCrory meninggal dunia pada usia 52 tahun akibat kanser, umum suaminya, Damian Lewis.
McCrory menghembuskan nafas terakhir di rumah, "dikelilingi rakan-rakan dan keluarga yang tersayang," tulis Lewis, yang juga seorang pelakon, di akaun Twitternya.
“Kami menyayanginya dan kami cukup bersyukur dengan kehadirannya dalam hidup kami. Tak ada yang lain sepertinya,” kata pelakon itu, sambil menambah bahawa isterinya “yang cantik dan kuat” telah meninggal setelah “berperang dengan kanser dengan beraninya.”
— Damian Lewis (@lewis_damian) April 16, 2021
McCrory cukup dikenali sebagai bintang dalam siri BBC, ‘Peaky Blinders’ dan watak Narcissa Malfoy, ibu kepada Draco Malfoy dalam filem-filem Harry Potter.
Beliau juga sempat memainkan watak Cherie Blair, isteri bekas perdana menteri Britain, Tony Blair dalam filem The Queen (2006) dan The Special Relationship (2010) serta pernah memainkan watak Menteri Dalam Negeri, Clair Dowar, dalam filem James Bond Skyfall (2012).
McCrory dan suaminya, pelakon siri TV Amerika Syarikat, ‘Homeland’ berkahwin pada tahun 2007. Mereka bertemu sewaktu sama-sama berlakon dalam pementasan Shakespeare ‘Much Ado About Nothing.’
Pada tahun 2011, beliau pernah memberitahu akhbar Independent bahawa beliau cuba mengelak dari dunia selebriti tetapi bangga dapat memainkan pelbagai watak yang menarik.
Tugas seorang pelakon, katanya, adalah untuk “mengingatkan penonton bahawa ini hidup ini, susah atau senang, adalah sangat bererti.” - AFP

