Tanah paling gersang - itu gambaran diberikan seorang sarjana India mengenai daerah di negaranya, apabila dimaklumkan mengenai susur galur saya.
Datuk saya, Tufail Ahmad Khan, seorang lelaki berdarah Pathan, tiba di Tanah Melayu pada 1908 kerana melarikan diri daripada kekejaman dan keganasan yang mencengkam Uttar Pradesh (UP), India British ketika itu.
Beliau berasal dari kampung Mirzapur, yang kini menjadi tajuk sebuah siri televisyen India dan terkenal dengan kekerasan, serta Azamgarh, yang dianggap antara kawasan paling ganas.
Tidak hairanlah apabila daerah itu digelar “tanah paling gersang dari segala tanah di India.”
Ketika ini, UP masih menjadi pusat keganasan berhaluan sayap kanan serta pergolakan kaum dan agama. Dengan jumlah penduduk mencecah 245 juta, UP lebih besar dan padat daripada kebanyakan kawasan lain di dunia.
Saya berasa amat bertuah kerana dilahirkan di Tanah Melayu yang merdeka.
Hari ini, saya sempat bertemu dengan beberapa sepupu yang membesar bersama saya pada 1960-an dan 70-an, di pedalaman Tanah Melayu.
Saya berasal dari Pengkalan Hulu, sebuah pekan kecil di sempadan Malaysia-Thailand, tempat datuk saya membina kejayaan sebagai ahli perniagaan. Dia pasti meninggalkan jasa kerana sehingga hari ini, ada sebatang jalan di kampung halaman kami yang dinamakan sempena namapnya.
Beliau meninggal dunia ketika saya berusia 11 tahun. Saya masih ingat bagaimana dia begitu menyayangi cucu-cucunya, tetapi orang dewasa segan dan takut padanya. Tidak hairanlah, kerana dia datang dari tanah yang penuh sejarah hitam.
Mengapa dia memilih untuk menetap di Pengkalan Hulu, tidak ada siapa yang tahu. Saya hanya mampu membuat andaian — mungkin, seperti dalam filem, dia tidak mahu dikesan sesiapa. Tapi lebih logik, mungkin dia merentasi Burma dan Thailand secara darat, dan Pengkalan Hulu merupakan penempatan pertama yang ditemui di Tanah Melayu. Atau mungkin juga dia dibawa masuk oleh penjajah British untuk bekerja. Soalan yang masih belum dapat saya jawab — mungkin satu hari nanti.
Berbalik kepada tempat asalnya, Azamgarh… saya sering dengar ia dikenali sebagai bumi yang melahirkan cendekiawan — dan juga penjenayah kejam serta pembunuh.
Arwah ayah saya pernah dengan bangga bercerita bahawa salah seorang penyair hebat India pasca-kemerdekaan, Kaifi Azmi, berasal dari Azamgarh. Dan anak perempuannya ialah pelakon Bollywood terkenal, Shabana Azmi. Ayah mengatakan kami ada pertalian darah dengan mereka — tapi saya sendiri tidak pernah bertemu mereka. Dan saya rasa mereka pun tidak tahu kewujudan kami.
Barangkali, seperti ramai orang kampung lain, ayah saya cuma merasa satu bentuk pertalian kerana berkongsi tanah kelahiran yang sama.
Yang lebih penting, kebanyakan pakcik saya adalah golongan terpelajar — pensyarah di Universiti Muslim Aligarh, Kolej Shipley, institusi di Lucknow; ada yang menjadi doktor dan peguam. Datuk sebelah ayah pula pernah menjadi hakim tempatan. Jadi, keluarga kami bukanlah dari kalangan ‘Azamgarh-wallahs’ yang digeruni itu. Syukurlah.
India ketika itu bukan tempat yang mesra, manakala Tanah Melayu pula adalah bumi subur yang penuh peluang. Dan ia masih begitu hari ini.
Saya dapati bahawa sepupu-sepupu saya lebih aktif menyelidik akar keturunan kami, dan mereka berkongsi banyak perkara yang saya sendiri tidak tahu. Pada tahun 1964, keluarga kami berpindah ke Pulau Pinang. Walaupun kami masih pulang ke kampung asal — yang ketika itu dikenali sebagai Kroh (sebelum dinamakan Pengkalan Hulu) — suasana hidup kami berubah. Secara perlahan-lahan, kami semakin terpisah daripada komuniti asal dari UP.
Saya pernah menjejakkan kaki ke Azamgarh beberapa kali. Walaupun kini ia sedang cuba menyesuaikan diri dengan arus moden abad ke-21, saya tidak pernah merasakan sebarang pertalian mendalam dengannya.
Itulah tempat asal nenek moyang saya, yang dahulu berhijrah dari Afghanistan — mungkin juga dari Parsi — berabad-abad lamanya. Di sanalah juga mereka disemadikan di tanah perkuburan keluarga di Azamgarh. Setiap kali saya menziarahi pusara-pusara yang tidak bertanda itu, saya doakan kesejahteraan roh mereka. Namun, hakikatnya, selain ayah saya, saya tidak pernah mengenali mereka.
Masa lalu, masa kini, dan masa depan saya, anak-anak serta cucu-cucu, adalah di Malaysia. Dan setiap kali saya terfikir tentang bagaimana buruknya sesetengah pemimpin kita, saya tetap rasa terhibur dan bersyukur kepada Yang Maha Esa — bahawa saya bukan berasal dari Tanah Paling Gersang itu. - Getaran, 3 Ogos 2025
Penulis ialah Pengerusi Yayasan ECM Libra dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP