web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Institusi Kehakiman; Antara Reformasi Dan Cabaran Sebenar

Rencana Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 03 Jul 2025 12:09PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Suatu ketika dahulu, apabila nama seorang hakim disebut di negara ini, ia tidak sekadar membawa hormat, tetapi turut datang bersamanya rasa penuh takzim. 

Nama-nama seperti Raja Azlan Shah, Tun Suffian, Eusoffe Abdoolcader dan George Seah bukan sekadar watak dalam sejarah perundangan kita. Mereka adalah lambang keluhuran, prinsip, dan keberanian moral. Mereka tidak hanya mentafsir undang-undang tetapi turut mengangkat martabatnya. Mereka tidak sekadar mendengar dan memutuskan kes tetapi menyuburkan keyakinan rakyat bahawa undang-undang itu suci, mengatasi kuasa, politik dan segala bentuk kepentingan sempit.

Namun, nilai itu sudah terhakis. Ia tidak hilang sekelip mata, tetapi terkikis perlahan-lahan dek keangkuhan kuasa, melalui kompromi dan melalui ketakutan yang membisu.

Era Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara telah meninggalkan parut yang mendalam terhadap institusi kehakiman. Ketika inilah bermulanya pemecatan hakim-hakim kanan, kepatuhan institusi kepada arahan politik dan keputusan-keputusan yang diselubungi syak wasangka. Dan lebih menyedihkan, hilangnya keyakinan rakyat terhadap keadilan. Sejarah itu, walaupun ada yang ingin melupakan atau menafsir semula mengikut kepentingan semasa, harus kekal dalam ingatan kita sebagai satu peringatan. Ia tidak boleh dilupakan jika tidak mahu kesilapan silam berulang kembali.

Perubahan Institusi Kehakiman

Namun hari ini, kita berdiri di satu titik perubahan.

Tun Tengku Maimun Tuan Mat, wanita pertama yang memegang jawatan Ketua Hakim Negara telah memimpin institusi ini dengan kebijaksanaan, ketegasan dan kesenyapan yang penuh wibawa. Di bawah kepimpinan beliau, kita mula menyaksikan kebangkitan semula semangat perundangan yang sebenar. Keberanian untuk memutuskan mengikut prinsip, bukan tekanan. Pemulihan keyakinan rakyat, bukan melalui propaganda, tetapi melalui keadilan yang dilihat dan dirasai. Dan yang paling mengesankan, beliau berjaya mengangkat semula martabat kehakiman tanpa perlu meninggikan suara. Beliau membuktikan bahawa kekuatan sebenar datang daripada prinsip, bukan retorik.

Tengku Maimun Tuan Mat
Tengku Maimun Tuan Mat

Persaraannya membuka perbualan tentang keperluan melanjutkan umur persaraan hakim-hakim yang cemerlang. Tetapi persoalan yang lebih besar ialah: bagaimana kita memastikan kesinambungan nilai itu? Bagaimana kita melahirkan lebih ramai “Maimun” yang baharu, yang bukan sahaja faham undang-undang, tetapi menghayati falsafahnya?

Cabaran Sebenar

Di sinilah cabaran sebenar bermula.

Kita tidak boleh berpuas hati dengan sekadar institusi kehakiman yang “berfungsi”. Ia mesti menjadi sumber inspirasi. Ia perlu menjadi tempat rakyat berpaut apabila segala-galanya kelihatan rapuh. Hakim-hakim tidak boleh dilihat hanya sebagai penjaga teks undang-undang, mereka harus menjadi suara nurani negara. Mereka wajib mengingatkan kita, setiap masa bahawa undang-undang itu bukan milik golongan elit, tetapi milik semua.

Malaysia bukan sebuah negara biasa. Kita adalah eksperimen yang belum pernah wujud dalam sejarah moden iaitu penyatuan pelbagai bangsa, agama dan budaya di bawah satu panji. Untuk eksperimen ini berjaya, tiangnya mestilah keadilan. Keadilan yang tidak tunduk kepada tekanan politik, kepentingan perkauman atau dogma agama. Keadilan yang berani, adil,l dan penuh belas ihsan.

Inilah saat kita menggandakan usaha reformasi.

Institusi Kehakiman Nadi Tamadun Negara

Kita mesti meletakkan semula sistem kehakiman sebagai nadi tamadun negara. Kita perlu melabur bukan hanya dari sudut kewangan, tetapi dari segi kepercayaan, penghormatan dan aspirasi. Kita perlu melahirkan generasi baharu hakim yang bukan sahaja bijak dalam teks, tetapi tajam dalam menilai jiwa manusia. Kita perlu menjadikan profesion kehakiman sebagai cita-cita tertinggi, bukan hanya kerjaya. Biar anak muda kita bercita-cita menjadi hakim bukan kerana pangkat, tetapi kerana impak kepada masa depan negara.

Kerana kita tahu—apabila rakyat kehilangan kepercayaan terhadap keadilan, maka yang akan mengisi ruang itu ialah korupsi, sinisme dan keputusasaan. Tetapi apabila rakyat percaya kepada mahkamah, maka yang akan lahir ialah harapan, keberanian dan kemajuan.

Kepada mereka yang kini menyarung jubah kehakiman, ini adalah detik anda. Detik untuk mengembalikan keyakinan rakyat. Detik untuk menjadi lebih daripada sekadar pengadil undang-undang. Jadilah pencetus perubahan. Jadilah pembela prinsip. Jadilah suara kepada mereka yang tiada suara.

Dan kepada kita semua, rakyat Malaysia, jangan hanya menuntut sistem kehakiman yang adil. Tuntutlah satu institusi kehakiman yang mengagumkan. Yang disegani bukan kerana kuasanya, tetapi kerana moralitinya. Yang dihormati bukan kerana gelaran, tetapi kerana kebenaran yang dibawanya.

Suara Raja Azlan Shah, Tun Suffian dan tokoh-tokoh besar kehakiman lain masih bergema dalam dinding-dinding Mahkamah Persekutuan. Sudah tiba masa gema itu bukan sekadar berbisik, tetapi mengaum semula.

Jika Malaysia ingin menjadi cahaya harapan kepada dunia yang semakin gelap ini, maka cahaya itu mesti bermula dari mahkamahnya. Dari keadilan yang tidak gentar. Tidak berat sebelah. Dan sentiasa—dalam apa jua keadaan, berpaksikan harapan. - Getaran, 3 Julai 2025

Berita Berkaitan

1

Rencana 1 hari yang lalu

Jika Kita Memperjuangkan Palestin, Kita Tidak Boleh Menutup Mata Terhadap Rohingya

2

Rencana 1 minggu yang lalu

Apabila Peraturan Institusi Diubah, Keadilan Menjadi Persoalan

3

Rencana 2 minggu yang lalu

Keadilan Tidak Wajar Tunduk kepada Kuasa: Karim Khan, ICC Dan Dunia Hari Ini

4

Rencana 3 minggu yang lalu

Andy Burnham Dan Britain Baharu: Mengapa Kita Perlu Memberikan Perhatian

Sorotan

1

Tok Mat Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Rantau, Zahid Jadi Pengiring

2

PRN Negeri Sembilan: 4 Calon PH, 3 Calon BN Tiba Di Pusat Penamaan Calon

3

Mayat Kanak-Kanak Perempuan Hilang Ditemukan, 2 Lelaki Ditahan

4

Dituduh Rogol Remaja Bawah Umur, Pempengaruh Media Sosial Mengaku Tidak Bersalah

5

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

6

Tarik Diri Daripada Kerajaan Negeri, DAP Melaka Beralih ke Blok Pembangkang 

Disyorkan untuk anda

Rencana 1 hari yang lalu

Jika Kita Memperjuangkan Palestin, Kita Tidak Boleh Menutup Mata Terhadap Rohingya

oleh Alfian Z.M. Tahir