KUALA LUMPUR - Umum mengetahui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai dokumen asas yang membentuk Persekutuan Malaysia dengan kemasukan Sabah dan Sarawak bersama Tanah Melayu dan Singapura.
Namun hakikatnya, MA63 bukan sekadar simbol penyatuan wilayah, tetapi satu komitmen undang-undang untuk menjamin hak dan autonomi wilayah Borneo dalam kerangka persekutuan.
Malangnya, masih banyak janji dan peruntukan dalam MA63 tidak dilaksanakan sepenuhnya walaupun beberapa dekad telah berlaku.
Pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri menyaksikan pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengembalikan hak kedua-dua negeri.
Pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), mengukuhkan lagi usaha tersebut, apatah lagi beliau berperanan besar sebagai ‘mediator’ untuk menstruktur semula hubungan Kerajaan Persekutuan dengan dua wilayah penting ini.
MA63 Dibelenggu Isu
MA63 bagaimanapun masih dibelenggu beberapa isu walaupun mencatatkan perkembangan memberansangkan.
Pemulangan kuasa autonomi misalnya, masih dilihat mencetuskan beberapa perkara berbangkit kerana banyak bidang kuasa yang sepatutnya kekal di bawah pentadbiran negeri seperti pendidikan, kesihatan dan pelaksanaan projek infrastruktur telah diambil alih atau terlalu dikawal oleh Kerajaan Persekutuan.

Ironinya, pemindahan kuasa masih berlaku secara berperingkat dan tidak menyeluruh walaupun telah wujud Jawatankuasa Teknikal MA63.
Pembayaran hasil serta cukai juga masih menjadi polemik yang gagal diselesaikan hingga saat ini, sedangkan hak Sabah dan Sarawak untuk untuk menerima royalti hasil minyak dan gas serta bayaran khas tunai adalah antara intipati utama MA63.
Apa yang berlaku adalah sehingga kini permintaan agar royalti dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus belum dipenuhi.
Kedua-dua negeri juga menuntut semakan semula formula agihan hasil berdasarkan kepentingan wilayah, bukan sekadar populasi atau keperluan fiskal.
Dari aspek pembangunan infrastruktur serta kemudahan asas pula, Sabah dan Sarawak masih ketinggalan berbanding Semenanjung.
Akses kepada jalan raya berturap, air bersih, elektrik dan internet masih tidak sekata kerana perancangan pembangunan sering tidak mengambil kira keperluan setempat dan dilaksanakan secara berpusat dari Putrajaya.
Kedua-dua negeri juga masih dianggap sebagai ‘entiti lain’ dan bukan rakan kongsi yang setara tarafnya, justeru usaha mengembalikan semula status asal sebagai entiti pengasas Malaysia adalah penting untuk memulihkan maruah politik dan sejarah kedua-dua wilayah.
Peranan Fadillah
Dalam hal ini, peranan Fadillah amat kritikal bagi memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak secara lebih tegas dan berstruktur.
Beliau yang juga teraju Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 iaitu platform tertinggi untuk merundingkan dan memutuskan isu-isu berkaitan perjanjian tersebut.berjaya memastikan beberapa pencapaian signifikan.

Di bawah majlis berkenaan, kuasa kawal selia gas berjaya dipulangkan kepada Kerajaan Sarawak melalui Ordinan Kuasa Negeri.
Penubuhan Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri pula secara tidak langsung berhasil dalam memantau pelaksanaan MA63 secara sistematik.
Struktur perjawatan dan perkhidmatan awam di kedua-dua negeri juga berjaya disusun semula bagi memperkasa pentadbiran negeri.
Komitmen Kerajaan Persekutuan
Perdana Menteri sebelum ini dipetik sebagai berkata, kerajaan kekal konsisten dalam melaksanakan komitmen terhadap MA63.
Beliau memberi jaminan, janji yang diberi bukan sekadar retorik politik atau sandiwara di musim pilihan raya, sebaliknya satu ikrar untuk mengembalikan hak rakyat di kedua negeri.
”Setakat ini sembilan tuntutan utama yang telah tertangguh sejak sekian lama berjaya diselesaikan.
"Ini menunjukkan kesungguhan kita, sebab itu kita selesaikan sembilan perkara utama yang tertangguh selama puluhan tahun. Malah isu-isu yang lebih besar seperti berkaitan minyak, kita juga boleh selesaikan dengan Sarawak," katanya dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu, Sabah akhir bulan lalu.

Tegas Anwar, kerajaan turut komited mempertahankan kedudukan Sabah dalam sidang ASEAN serta meneruskan peranan Sabah dalam kerjasama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Tujuh Tuntutan Bukti Kerajaan Serius
Kejayaan menyelesaikan 11 tuntutan MA63 dengan tujuh daripadanya dicapai oleh pentadbiran Anwar, membuktikan bahawa Kerajaan Madani sememangnya serius untuk menunaikan segala yang dijanjikan.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, kerajaan khususnya Perdana Menteri begitu konsisten dalam memastikan kesemua tuntutan kedua-dua negeri berjaya dipenuhi.

Menurut beliau, usaha berkenaan bukan sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan pelbagai aspek dan perlu diperinci sebaiknya.
“Kerajaan untuk memenuhi semua tuntutan itu perlu memastikan aspek kewangan, urus tadbir perundangan, dan Perlembagaan Persekutuan yang agak kompleks diurus sebaiknya.
“Perdana Menteri sememangnya serius dalam memastikan hak penduduk Sabah benar-benar diperjuangkan, agar kerajaan hari ini dilihat berbeza dari segi fokus untuk MA63 berbanding pentadbiran kerajaan sebelum ini," katanya, seperti dilaporkan BERNAMA.
Jelas Syahruddin, tujuh tuntutan yang berjaya diselesaikan merangkumi pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi tujuan Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
Beliau yang juga pakar perhubungan awam kerajaan berkata, penyelesaian tujuh perkara tersebut sangat signifikan kepada Sabah dan Sarawak kerana memberi impak kepada reputasi Perdana Menteri dalam hal berkaitan inisiatif kerajaan Persekutuan untuk menyempurnakan agenda MA63.
Gerakkan Langkah Strategik
Untuk memastikan MA63 direalisasikan secara menyeluruh, beberapa langkah strategik harus digerakkan, termasuk pemindahan kuasa secara menyeluruh dan terancang.
Dalam hal ini, ia tidak boleh dilaksanakan secara mengejut, sebaliknya perlu dibuat berdasarkan pelan tindakan lima tahun yang jelas.
Menurut sumber, pelan itu perlu dilengkapi dengan garis masa, indikator prestasi dan pemantauan berkala oleh jawatankuasa bebas yang merangkumi wakil negeri.
Katanya, terdapat juga keperluan untuk menilai semula struktur federalisme Malaysia, termasuk cadangan untuk menubuhkan Dewan Persekutuan yang mewakili wilayah pengasas iaitu Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dengan kuasa legislatif tersendiri bagi isu-isu strategik dan autonomi.
“Kerajaan juga perlu bersikap telus dalam perbelanjaan dana dan royalti.
“Sebarang bayaran khas atau royalti kepada Sabah dan Sarawak perlu disertakan dengan laporan ketelusan dan mekanisme audit bebas bagi memastikan dana dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan wilayah dan tidak berlaku kebocoran atau ketirisan,” katanya.
Tambah beliau, kedua negeri juga perlu diberi kuasa lebih luas dalam menetapkan silibus pendidikan yang mengambil kira warisan budaya, bahasa, dan sejarah setempat.
“Ini termasuk pengiktirafan Bahasa Iban dan Kadazandusun dalam sistem pendidikan negeri,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kempen kesedaran diadakan bagi meningkatkan kefahaman rakyat berhubung MA63.
“Ramai rakyat di Semenanjung masih kurang faham tentang MA63, justeru program pendidikan awam melalui media, institusi pendidikan, dan forum komuniti perlu digiatkan.
“Kesedaran nasional mengenai keistimewaan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Malaysia perlu dipupuk sejak usia muda,” katanya. - Getaran, 19 Jun 2025