web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


"For You Nourul" Bukti Pesona, Vokal Masih Berbisa Selepas 3 Dekad

Malam itu, "For You Nourul" bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perjalanan yang meraikan ketabahan, kesetiaan dan kecintaan seorang penyanyi terhadap dunia seni yang telah menjadi sebahagian daripada hidupnya selama lebih 30 tahun.L

Muzik Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 03 Jun 2026 3:34PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Penantian lebih tiga dekad akhirnya terlerai apabila penyanyi Nourul Wahab Depp merealisasikan impian mengadakan konsert solo menerusi "Konsert For You Nourul" yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur minggu lalu.

Lebih istimewa, konsert berdurasi hampir tiga jam itu bukan sekadar meraikan perjalanan seni penyanyi berusia 49 tahun itu, malah menjadi ruang untuk beliau berkongsi kisah hidup, perjuangan dan perjalanan karier yang membentuk namanya dalam industri muzik tanah air.

Seawal persembahan, suasana dewan sudah dibangkitkan dengan kemunculan kumpulan koir yang mendendangkan beberapa lagu popular Nourul termasuk Tika Cinta, Keliru, Cinta Azali, Kerana Terluka dan Aku Cinta Aku Rindu, sekali gus mengimbau nostalgia peminat yang setia mengikuti perjalanan seninya sejak era 1990-an.

Kemunculan Nourul menerusi lagu Rindu dan Impianku disambut sorakan gemuruh penonton, dengan vokalnya yang masih mantap serta kawalan suara yang konsisten membuktikan usia bukan penghalang untuk terus memukau khalayak.

Antara segmen yang meninggalkan kesan ialah rangkaian lagu Janji Manismu, Kau Kunci Cintaku, Madah Berhelah dan Sembilu yang membawa penonton menyusuri kembali era kegemilangan muzik tempatan.

Beberapa kali penyanyi itu dilihat sebak ketika berkongsi rasa syukur kerana impian untuk memiliki konsert solo sendiri akhirnya menjadi kenyataan selepas 32 tahun bergelar anak seni.

"Terima kasih kepada semua yang hadir malam ini. Saya simpan impian ini lebih 30 tahun. Better late than never (Lebih baik terlambat daripada tidak ada)," katanya yang menerima tepukan gemuruh daripada penonton.

Momen penuh emosi itu turut diserikan dengan kemunculan anak lelakinya, Zachary Raphael Depp, yang mencuit hati penonton menerusi telatahnya di atas pentas.

Konsert berkenaan turut menemukan semula Nourul dengan peminat yang hadir dari pelbagai lokasi termasuk Singapura dan Brunei, sekali gus membuktikan pengaruh serta sokongan yang masih utuh terhadap penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1996 itu.

Keakraban Nourul dengan peminat terserlah apabila beliau turun dari pentas menyapa penonton dan rakan seni yang hadir. Namun, sorakan paling gemuruh malam itu tercetus sebaik Ning Baizura muncul sebagai artis jemputan, sebelum kedua-dua sahabat baik itu memukau hadirin menerusi duet Selagi Ada Cinta.

"Energi" konsert terus meningkat apabila Mimi Fly muncul sebagai artis jemputan dan bergandingan dengan Nourul menerusi lagu Persamaan, Maafkanku dan Keliru sehingga mengundang penonton bangun memberikan penghormatan.

Tidak sekadar menyampaikan lagu popularnya, Nourul turut memperlihatkan sisi versatil menerusi lagu berbahasa Perancis "Aujourd'hui" sebelum memberi penghormatan kepada idolanya, Celine Dion, menerusi lagu "That's The Way It Is".

Dalam segmen solo pula, beliau tampil anggun dalam persalinan rona emas menampilkan lagu Ikhlasnya Cintaku, Tangis Syukur, Tertutup Hati, Rinduku Padamu dan Aku Cinta Aku Rindu pula menjadi antara kemuncak persembahan apabila hampir seluruh dewan menyanyikan lagu-lagu itu bersama-sama.

Nourul turut berkongsi kisah di sebalik lagu Rinduku Padamu yang dicipta sepenuhnya oleh bekas suaminya, Ajai, dan menyifatkan karya yang diterbitkan pada 1996 itu mempunyai nilai sentimental yang besar dalam perjalanan seninya.

Meskipun persembahan berlangsung hampir tiga jam tanpa henti, Nourul kekal bertenaga dengan vokal yang konsisten dari awal hingga akhir.

Beliau kemudian memperkenalkan single terbaharu berjudul Andai Ku Kenaliku ciptaan Yasin Sulaiman dan Eena Houzyama sebelum menutup tirai konsert menerusi lagu Kerana Terluka yang dinyanyikan beramai-ramai bersama penonton.

Malam itu, "For You Nourul" bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perjalanan yang meraikan ketabahan, kesetiaan dan kecintaan seorang penyanyi terhadap dunia seni yang telah menjadi sebahagian daripada hidupnya selama lebih 30 tahun. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Muzik 3 hari yang lalu

SOUNDSTAGE Satukan NIDJI, Hujan Dan 3 Band Tempatan Dalam Konsert Rentas Sempadan

2

Muzik 1 minggu yang lalu

AJL40 Bawa Peminat Selami Dunia Muzik Menerusi Muzik Lab

3

Muzik 2 minggu yang lalu

Tiket AJL40 Tinggal 20 Peratus, Bahang Malam Muzik Paling Berprestij Negara Kian Memuncak

4

Muzik 4 minggu yang lalu

Demi Peminat, Ella Rela Ubah Perancangan Besar Homecoming Edisi 60 Permata Biru

Sorotan

1

Tok Mat Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Rantau, Zahid Jadi Pengiring

2

PRN Negeri Sembilan: 4 Calon PH, 3 Calon BN Tiba Di Pusat Penamaan Calon

3

Mayat Kanak-Kanak Perempuan Hilang Ditemukan, 2 Lelaki Ditahan

4

Dituduh Rogol Remaja Bawah Umur, Pempengaruh Media Sosial Mengaku Tidak Bersalah

5

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

6

Tarik Diri Daripada Kerajaan Negeri, DAP Melaka Beralih ke Blok Pembangkang