Penyanyi Indonesia, Nadin Amizah mungkin belum begitu dikenali di Malaysia. Namun namanya sering menjadi perhatian di Indonesia dengan mendaki beberapa pencapaian dan anugerah.
Tidak hairanlah jika tempias lagunya berjaya menawan hati sekelompok khusus pendengar Malaysia sehingga ramai yang meminta artis itu untuk turun mengadakan konsert di sini.
Nadin ketika ditemui di ibu kota mendedahkan banyak menerima mesej daripada peminat di Malaysia yang tidak putus-putus berharap agar gadis berusia 23 tahun itu mengadakan konsert di negara ini.

“Ada yang direct message saya di Instagram sejak beberapa tahun dulu. Waktu itu saya belum dikenali. Mereka masih minta saya buat persembahan di Malaysia sehingga hari ini.
“Mereka sangat setia dan itu membuatkan saya teringin ke Malaysia, cuma belum dipanggil oleh mana-mana penganjur sebelum ini. Kali ini, alhamdulillah rezeki saya membawakan konsert Selamat Ulang Tahun di Malaysia,” dedahnya.
Konsert Selamat Ulang Tahun dibawakan dalam dua babak. Babak pertama dimulakan dengan video janin dan suara gelak tawa kanak-kanak. Nadin membuka panggung dengan membawakan kesemua lagu dalam album terbarunya, Kalah Bertaruh.
Selepas itu, Nadin membawa pengunjung ke babak kedua. Sebuah pementasan semi-teater menceritakan kesemua lagu dalam album Selamat Ulang Tahun menjadikan ia sebuah konsep yang segar.

Kesemua 2,000 pengunjung di lokasi persembahan bertaraf dunia, Zepp Kuala Lumpur tenggelam dalam alunan perasaan lagu-lagu Nadin terutamanya ketika dia menyanyikan lagu 'Bertaut' di atas riba ibunya.
'Bertaut' menceritakan luahan perasaan seorang anak kepada ibunya yang ditulis Nadin bagi menghargai pengorbanan ibunya membesarkan mereka dua beradik selepas bercerai.
“Ini cerita benar, semasa latihan lagu bertaut, saya menangis. Bunda juga menangis. Dia sempat berkata kepada saya ‘bunda bangga sama kamu dan bangga menemani kamu sehingga 22 tahun’ selepas persembahan,” dedahnya kepada Getaran.
Persembahan dalam konsert Selamat Ulang Tahun adalah perjalanan hidup seorang Nadin Amizah. Ia adalah sebuah persembahan yang diambil daripada fragmen memori sebenar seorang Nadin meceritakan perasaannya selepas ibu-bapanya bercerai.

“Saya memiliki pendekatan tersendiri yang saya bawakan. Kekuatan saya ialah panggung,” kata Nadin yang menyanyikan 18 lagu untuk konsert di Malaysia berbanding 10 lagu ketika konsertnya di Jakarta.
Nadin menutup konsertnya di Malaysia dengan lagu 'Sorai' yang berbunyi:
“Mungkin akhirnya tak jadi satu, namun bersorai pernah bertemu,” sambil dilatari kapal terbang kertas yang memenuhi ruang Zepp. - Getaran, 27 Januari 2023