KUALA LUMPUR – Mahkamah Perlembagaan Thailand menyingkirkan Perdana Menteri Srettha Thavisin daripada jawatannya susulan pelanggaran etika dalam pelantikan jawatan menteri.
Menurut laporan AFP, Srettha didapati melanggar peruntukan dalam Perlembagaan negara itu apabila melantik seorang peguam yang mempunyai rekod jenayah sebagai menteri April lepas.
Hakim Hakim Punya Udchachon ketika membaca penghakiman mahkamah dipetik sebagai berkata, mahkamah dengan keputusan majoriti memutuskan bahawa jawatan Srettha
ditamatkan di bawah perlembagaan.
“Beliau tidak menunjukkan kejujuran dalam melantik menteri tersebut.
“Beliau pasti sudah tahu sabitan kesalahan peguam Pichit Chuenban pada 2008 apabila melantiknya ke kabinet,” katanya.
AFP melaporkan, lima daripada sembilan hakim Mahkamah telah mengundi untuk menyingkirkan Srettha dan kabinetnya dengan memutuskan bahawa perdana menteri itu sedar sepenuhnya beliau melantik seseorang yang mempunyai kekurangan integriti moral.
Pada Mei, Mahkamah Perlembagaan Thailand menerima satu petisyen yang difailkan 40 senator untuk menyingkirkan Srettha selepas melantik Pitchit Chuenban yang pernah dipenjara enam bulan kerana terkait kes rasuah.
Srettha yang sebelum ini merupakan hartawan hartanah dilantik menjadi Perdana Menteri pada Ogos sekali gus menamatkan pergolakan politik yang berlaku di negara itu selama tiga bulan selepas Pilihan Raya 2023. – Getaran, 14 Ogos 2024

