Berlatarbelakangkan dunia perubatan dan persahabatan yang akrab, drama 'Hospital Playlist' kembali untuk musim kedua di kaca Netflix anda.
Setahun telah berlalu sejak episod terakhir musim pertama tamat, namun bagi para penonton setia, drama ini seolah-olah tidak pernah 'pergi.'
Menurut sumber Nielsen Korea, episod pertama musim kedua 'Hospital Playlist' telah mencatatkan rating sebanyak 10.07 peratus, iaitu rating tertinggi untuk episod pertama dalam sejarah K-drama yang pernah ditayangkan di saluran kabel terkemuka Korea Selatan, tVN.
Dibarisi para pelakon handalan yang tidak asing lagi seperti Jo Jong-suk sebagai Lee Ik-jun, Yoo Yeon-seok sebagai Ahn Jeong-won (Andrea), Jung Kyung-ho sebagai Kim Jun-wan, Jeon Mi Do sebagai Chae Song-hwa dan Kim Dae Myung sebagai Yang Seok Hyung, drama ini berkisarkan persahabatan mereka berlima di usia 40-an.
Mereka berkenalan sejak menuntut di sekolah perubatan dan persahabatan mereka berlanjutan sehingga bergelar pakar dalam bidang masing-masing. Di waktu susah dan senang dalam menghadapi kerenah para pesakit, mereka saling menyokong antara satu sama lain dengan cara yang tersendiri.
.jpg)
Selain dari kisah-kisah kehidupan seharian yang digarap seiring dengan jalan cerita utama, drama ini menawarkan suatu kelainan di mana kelima-lima sahabat ini akan berkumpul dan berlatih bermain alat muzik di penghujung setiap episod.
Ya, lima doktor pakar bermain alat muzik! Ianya adalah sesuatu yang unik dan sentiasa dinanti-nantikan oleh penonton setia drama ini.

Mereka lebih suka dikenali sebagai 'Mido and the Falasol' akan berkumpul di waktu senggang untuk berlatih bersama dan mendendangkan lagu-lagu evergreen yang digarap semula.
Nampak mudah, namun babak ini dipertontonkan untuk mengingatkan para penonton untuk tidak lupa memberi masa untuk diri sendiri di sebalik kesibukan bekerja. Mesej yang mudah dan ringkas, namun mungkin ramai yang terlupa.
Secara jujurnya, genre drama perubatan bukanlah minat penulis. Bahasa-bahasa teknikal yang digunakan kadangkala terasa begitu asing di telinga.
Penulis lebih meminati genre berkisarkan kehidupan seharian yang mana ianya lebih dekat dan mudah difahami.
Apabila penulis mengetahui bahawa penulis skrip dan pengarah kegemaran dari siri-siri 'Reply' (siri wajib tonton ya!) berganding bahu untuk drama ini, penulis sedar bahawa 'Hospital Playlist' akan menjadi drama yang ‘berjiwa’.
.jpg)
Setiap episod berdurasi 1.5 jam kadangkala tidak terasa dek terlalu menjiwai jalan cerita. Kisah-kisah yang dipaparkan adalah sebahagian kehidupan yang kadangkala tidak kita sedari ataupun dipandang enteng.
Sebagaimana episod satu di musim kedua ini, dikisahkan seorang ibu yang baru sahaja kematian anak kesayangannya tapi seringkali muncul di bahagian kanak-kanak dengan pelbagai alasan untuk bertemu doktor mahupun jururawat.
Malah, beliau dikatakan mahu menyaman pihak hospital atas kematian anaknya.
Namun demikian, Dr. Ahn telah memberi perspektif baru bahawa si ibu hanyalah mencari kenangan lalu bersama anaknya yang membesar di hospital itu selama tiga tahun dan tidak mahu melupakan hakikat yang beliau pernah bergelar seorang ibu.
.jpg)
Sesungguhnya babak ini sangat meruntun jiwa mengingatkan kita kepada kasihnya seorang ibu. Manakala di episod lima musim pertama menyaksikan si anak yang sanggup mengorbankan sebahagian daripada organ hatinya untuk bapa tercinta.
Pada mulanya si bapa berkeras untuk tidak meneruskan pembedahan dek kerana kasihan akan anaknya.
Beliau seringkali menyalahkan diri sendiri atas penyakit yang dialaminya dan tidak mahu menyusahkan anaknya, namun Dr. Ik-jun berjaya memujuknya untuk menghargai pengorbanan si anak yang mahu bapanya menjalani kehidupan seperti biasa.
.jpg)
Di sini para penonton boleh menyaksikan sisi lain secebis kisah kehidupan mengenai pengorbanan si anak demi orang tuanya yang mana boleh dikatakan jarang kali dikisahkan di layar kaca.
Episod pertama bagi musim kedua 'Hospital Playlist' baru sahaja ditayangkan di Netflix pada 17 Jun 2021 yang lalu dan akan bersiaran setiap hari Khamis jam 10 malam.
.jpg)
Penulis secara peribadinya amat menantikan isu-isu yang bakal dikupas sepanjang musim kedua ini dan kisah-kisah persahabatan lima doktor yang penuh warna warni ini.
Untuk yang mencari drama baru untuk ditonton bersama keluarga atau pun sahabat semasa musim PKP ini, boleh lah cuba menonton 'Hospital Playlist' ya! Selamat menonton! - Getaran, 29 Jun 2021
Semua gambar: Ihsan Netflix kecuali tertera