Ada filem yang sekadar dicipta untuk ditonton dan ada filem seperti Kinaru yang dicipta untuk dihayati.
Membuka tirai tayangan di India baru-baru ini, naskhah hebat terbitan Suriya Narayanan dan Vinod Sekhar itu dihasilkan menerusi kerjasama Petra Studios dan Madras Stores (unit di bawah Petra Films).
Ia mencetuskan gelombang emosi dan menerima pujian hampir sebulat suara, termasuk penarafan 4/5 daripada Times of India.
Kinaru bermula dengan ketenangan empat kanak-kanak polos. Pethappa, Mani, Saibol dan Salidappa dipaparkan sedang bermain riang di dalam sebuah perigi dengan tawa mereka bergema seperti melawan dunia yang terlalu awal menghukum.
Namun di celah-celah keriangan itu, muzik latarnya bergetar dengan amaran. Kamera bergerak perlahan, seolah-olah menahan nafas sebelum badai.
Dan badai itu benar-benar tiba. Tanpa amaran, mereka dipukul, bukan kerana kesalahan besar, tetapi hanya kerana menggunakan perigi itu.
Adegan tersebut dirakam dengan ironi yang menyakitkan; ia tidak dibingkai sebagai tragedi, tetapi sebagai satu kebiasaan. Ia mengundang rasa tidak percaya…
Rasa itu berubah menjadi kesedihan lebih mendalam apabila penonton menyedari bahawa bagi empat anak kecil ini, penderitaan bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya adalah satu rutin.

Setiap adegan yang menyusul, setiap lagu bertenaga dimainkan selepas kesakitan, seolah-olah mengatakan, “Inilah hidup kami. Kami terpaksa ketawa walaupun luka masih baharu.” Dan daripada realiti maha pedih itulah lahir keazaman paling murni iaitu tekad untuk menggali perigi sendiri, demi mendapat maruah dan kebebasan yang telah lama dirampas.
Filem Tamil berdurasi 1 jam 48 minit ini diarahkan oleh Harikumaran, dan dibintangi Kanishkumar, Vivek Prasanna, Manojkannan, Ashwin dan Sri Hariharan.
Gandingan tersebut berjaya mempersembahkan aksi mantap dan memberikan jiwa kepada setiap detik penceritaan.
The New Indian Express nenerusi ulasannya melaporkan, Kinari bukan sebuah filem yang tandus emosi, sebaliknya ia adalah karya yang sarat empati.
Menurutnya, ketika industri perfileman India dibanjiri karya yang gagal berbicara mengenai empati, Kinaru berdiri megah sebagai naskhah penuh kebenaran tanpa mengorbankan denyut hati dan jalinan cerita.
Kinaru bukan sekadar lakonan. Ia adalah suara lembut tapi berani, yang membawa harapan dalam setiap denyut nadi.
Kinaru merentas generasi, yang memaparkan penderitaan dan impian secara terbuka, tanpa malu, tanpa berselindung. - Getaran, 17 November 2025